KERAJAAN Filipina menarik balik permit operasi portal berita Rappler dan pendaftaran syarikat pemiliknya Rappler Holdings Corp atas dakwaan melanggar peruntukan Perlembagaan republik itu yang mensyaratkan pemilikan media hanya dihadkan kepada warganegara Filipina, lapor media di Manila.
Tindakan itu bagaimanapun disifatkan oleh pengkritik Presiden Rodrigo Duterte sebagai satu serangan ke atas kebebasan media di Filipina, lapor AFP.
Rappler yang memulakan operasinya pada 2012 adalah antara media di republik itu yang lantang mengkritik perang Duterte melawan ancaman dadah.
Jurucakap Duterte menolak tuduhan tindakan ini satu serangan ke atas kebebasan media sebaliknya menegaskan portal berita itu tidak mematuhi peraturan bahawa media mesti dimiliki 100% oleh rakyat Filipina.
Duterte dalam ucapannya di Kongres tahun lalu menuduh Rappler dimiliki oleh “rakyat Amerika Syarikat”.
“Tidak ada sesiapa yang terlepas daripada undang-undang. Rappler harus mematuhi undang-undang.” kata Harry Roque, jurucakap presiden, dalam satu kenyataan, seperti dipetik oleh AFP.
Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Filipina mendakwa Rappler menerima dana daripada Omidyar Network, perniagaan yang diasaskan oleh pendiri eBay dan pengusaha, Pierre Omidyar.
Rappler dalam satu kenyataan menjawab ucapan Duterte di Kongres tahun lalu mengatakan pelaburan pemodalnya tidak menjadikan mereka pemilik portal berita itu.
“Rappler tetap 100 peratus dimiliki warga Filipina,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Rappler dalam reaksinya mengatakan akan membuat rayuan di mahkamah terhadap keputusan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa ini, yang akan berkuat kuasa dalam masa 15 hari.
“Kami tidak hanya akan mencabar (sekatan) ini melalui segala proses undang-undang yang ada, tetapi kami juga akan memperjuangkan kebebasan untuk melaksanakan kewartawanan dan hak anda untuk didengar melalui sebuah platform yang bebas seperti Rappler,” kata portal berita itu.
“Kami akan terus membawakan kepada anda berita, meminta yang berkuasa bertanggungjawab atas tindakan dan keputusan mereka, menarik perhatian kepada kecuaian kerajaan yang merugikan lagi mereka yang lemah.” – AFP, 15 Januari, 2018.
Komen