Hutang peneroka Felda hapus: Terima kasih, PM


SAYA dilahirkan sebagai anak Felda. Saya membesar sebagai anak Felda. Hati saya terguris apabila Felda dicerca. Jiwa saya dicarik-carik apabila entiti dan seisi Felda diperlakukan sewenang-wenangnya.

Lahir dan membesar di Felda memberikan saya satu kesedaran. Kesedaran tentang nikmat mensyukuri kebijaksanaan pemimpin hari ini. Kesedaran bahawa dalam proses menganjak minda peneroka seperti yang dilaungkan kini, peneroka masih dibebani hutang yang bukan sedikit. 

Tertanya-tanya, asas matematik apakah yang digunapakai: 65 tahun usia Felda, peneroka masih berhutang untuk 10 ekar tanah. 

Di sebalik tanda tanya itu, saya sedar bahawa tidak akan ada mana-mana negara yang mengurniakan tanah seluas 837,843 hektar untuk diteroka kepada 119,293 orang secara pemilikan melainkan Malaysia. 

Tidak ada mana-mana agensi yang menguruskan tanam semula ladang secara kredit melainkan Felda. 

Hari ini saya panjangkan lagi nikmat kesyukuran itu, dan saya menulis kerana saya perlu kongsikan kegembiraan yang membuak di hati ini. 

Penghapusan pinjaman dalam kadar 80% adalah jumlah yang sangat besar. Ia umpama melepaskan bebanan batu besar yang dipikul di bahu peneroka. 

Bagi pihak diri saya sendiri, atas kapasiti generasi kedua Felda, ingin saya rakamkan jutaan ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri. 

Merasai denyut nadi bebanan peneroka Felda dan menterjemahkan rasa kebertanggungjawaban itu atas nama ketua kerajaan melalui pelupusan pinjaman adalah hadiah hari peneroka yang paling berharga dalam sejarah sambutannya dari seorang Perdana Menteri. 

Hari ini, jika peneroka menekan papan kekunci untuk menyemak jumlah pinjaman Felda yang perlu dibayar, mereka akan dapati jumlah itu telah menyusut menjadi sekecil-kecilnya. Justeru, ingin saya mengajak seluruh generasi Felda, tidak kira di wilayah mana, apapun nama tanah rancangannya, marilah kita sama-sama merealitikan tema “anjakan minda peneroka”. 

Marilah bersama memberikan dukungan yang tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri dan seluruh anggota kabinetnya.

Marilah kita bersama menganjak minda demi masa hadapan yang lebih gemilang. 

Jadilah kita generasi Felda yang tahu berterima kasih dan berperanan dalam memajukan bukan sahaja Felda, tetapi juga untuk negara Malaysia yang kita cintai ini. Terima kasih, PM. – 11 Julai, 2021.

*Md Pedzil Md Isa, generasi kedua Felda Teloi Kanan

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen