PRESIDEN China Xi Jinping dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un telah berikrar membawa hubungan kedua buah negara itu ke “tahap baharu” ketika menyambut ulang tahun ke-60 perjanjian persahabatan, lapor media Pyongyang pada Ahad.
China merupakan sekutu lama Korea Utara, hubungan mereka terjalin sejak pertumpahan darah Perang Korea, ketika Mao Zedong menghantar berjuta-juta “sukarelawan” untuk memerangi pasukan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dipimpin Amerika Syarikat.
Kedua-dua negara menandatangani perjanjian persahabatan, kerjasama dan bantuan jika berlaku serangan bersenjata pada 11 Julai 1961, dengan Mao menggambarkan sekutu-sekutu itu rapat seperti “bibir dan gigi”.
Hubungan berubah-ubah sejak beberapa tahun kerana cita-cita nuklear Pyongyang yang meningkat, namun dengan rundingan antara Korea Utara dan AS terhenti, kedua-dua pihak telah berusaha memperkuat pakatan mereka.
“Walaupun keadaan dunia berselirat dan belum pernah terjadi sebelum ini sejak beberapa tahun kebelakangan, kepercayaan dan persahabatan antara Korea Utara dan China makin kuat dari hari ke hari,” Kim menulis dalam perutusannya kepada Xi.
Dalam perutusan disampaikan oleh agensi berita KCNA, Kim menekankan peranan pakatan itu dalam “memastikan keamanan dan kestabilan di Asia dan seluruh dunia sekarang sehingga pasukan yang bermusuh putus asa menghadapi cabaran dan gerakan penghalang.”
Xi menulis beliau merancang untuk membawa “kebahagiaan yang lebih besar” kepada kedua-dua negara dan rakyatnya “dengan terus memimpin hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua buah negara itu ke tahap baharu,” kata KCNA. – AFP, 11 Julai, 2021.
Komen