INSIDEN letupan di sebuah tempat sukan mengorbankan sekurang-kurangnya empat individu, berlaku di bandar pelabuhan Laut Merah Sudan, kata pegawai perubatan pada Ahad.
Letupan itu berlaku pada Sabtu di sebuah kelab sukan yang sibuk di Pelabuhan Sudan. Tidak jelas siapa yang menjadi dalang kejadian itu, yang turut melibatkan serangan bersenjata.
“Alat peledak diletupkan di kelab Al-Amir ... membunuh empat orang,” kata Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan dalam satu kenyataan.
Tiga yang lain cedera akibat ditembak atau ditikam, tambahnya.
“Ada percubaan lain yang mensasarkan sebuah hotel di bandar tetapi gagal,” kata jawatankuasa itu tanpa mengulas lanjut.
Ketegangan memuncak beberapa minggu kebelakangan ini di Pelabuhan Sudan apabila penunjuk perasaan antikerajaan dilaporkan menyekat jalan.
Jawatankuasa doktor, sebuah persatuan bebas perubatan, menyalahkan “pergaduhan kaum” berhubung kejadian pada Sabtu dan mendesak pasukan keselamatan campur tangan.
Sudan dipimpin oleh kerajaan peralihan awam-tentera berikutan penggulingan presiden Omar al-Bashir pada April 2019, yang memerintah Sudan selama 30 tahun.
Sejak itu negara mengalami tempoh penuh dengan krisis ekonomi yang semakin parah dan perpecahan politik yang semakin mendalam. – AFP, 11 Julai, 2021.
Komen