Raja Jordan, presiden Israel berbincang usaha damai


Seorang murid meminum air di sebuah sekolah di Jordan, ketika Jordan yang kering kontang itu bersetuju untuk mendapatkan 50 juta meter padu air dari Israel, selain meningkatkan lagi usaha damai antara kedua dua negara itu. – Gambar EPA, 11 Julai, 2021.

RAJA Jordan II pada Sabtu menerima panggilan telefon dari Presiden Israel baharu Ishak Herzog membincangkan usaha perdamaian Timur Tengah, kata agensi berita Petra yang dikendalikan negara.

Abdullah “menekankan pentingnya usaha damai yang adil dan komprehensif” antara Israel dan Palestin “berdasarkan penyelesaian dua negara”, kata agensi itu.

Raja Jordan, di mana kira-kira separuh daripada 10 juta penduduknya berasal dari Palestin, memberitahu Herzog jalan menuju perdamaian yang berkekalan di wilayah tersebut adalah dengan dengan kemerdekaan Palestin.

Herzog, yang dilantik sebagai presiden Israel pada Rabu, memberitahu melalui Twitter beliau menekankan “pentingnya hubungan strategik antara negara-negara kita”.

“Saya beritahu Yang Mulia saya berhasrat mengeratkan hubungan,” tambah Herzog.

Gesaan itu dibuat dua hari selepas Israel dan Jordan mencapai kata sepakat membenarkan negara Yahudi itu menjual sejumlah air yang belum pernah terjadi sebelumnya kepada kerajaan Jordan, selain meningkatkan eksport Jordan ke Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Kedua-dua negara itu mengumumkan pada Sabtu Israel akan menjual 50 juta meter padu air.

Pejabat Herzog dalam satu kenyataan berkata Abdullah “menyatakan kepuasannya selepas kembalinya hubungan diplomatik antara kedua negara.”

Presiden itu dipetik sebagai berkata beliau mahu mengeratkan hubungan ekonomi dan pelancongan antara kedua-dua negara.

Hubungan antara Jordan dan Israel, yang memiliki perjanjian damai 1994, bertambah tegang di bawah bekas perdana menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Awal tahun ini, beliau dilarang menggunakan ruang udara Jordan, menggagalkan perjalanan pertamanya ke Emiriah Arab Bersatu.

Netanyahu diganti bulan lalu oleh Naftali Bennett, yang gabungannya telah menjalin hubungan dengan Amman sebagai keutamaan dasar luar.

Jordan salah sebuah negara yang kekurangan air paling banyak di dunia dan para pakar berkata negara itu telah mengalami salah satu musim kering yang paling teruk dalam sejarahnya. – AFP, 11 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen