Umno berbelah bahagi sokong Muhyiddin, lantikan baharu Kabinet


Diyana Ibrahim Raevathi Supramaniam

Sebahagian pemimpin dan akar umbi Umno bimbang keputusan tarik sokongan kepada PN akan membangkitkan kemarahan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2021.

UMNO berbelah bahagi dengan keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan juga dalam isu pelantikan pemimpin parti itu sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kanan.

Ada di kalangan pemimpin dan akar umbi bimbang langkah berkenaan hanya akan membangkitkan kemarahan rakyat, namun ada juga berpendapat ia langkah terbaik untuk menyelamatkan negara.

Seorang ahli Umno, Hairani Halim, 59, berkata beliau tidak bersetuju dengan keputusan menarik sokongan tersebut kerana berpendapat parti itu sepatutnya terus dengan Perikatan Nasional (PN).

“Siapa pegang sama sahaja yang penting utamakan Covid. Lagipun bila dah lantik Ismail Sabri adalah pemimpin utama daripada Umno.

“Suara Umno ada pada dua menteri kanan. Sekarang bukan masa untuk tukar kerajaan, tak sesuai,” kata anggota Umno Gombak itu kepada The Malaysian Insight.

Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris turut senada dengan Hairani dan berpendapat keputusan itu tidak kena kerana dibuat sewaktu negara berdepan krisis Covid-19.

Beliau berkata sentimen rakyat yang kecewa dengan kerajaan PN namun sepatutnya Umno perlu menunggu dan memberi masa sehingga selesai program imunisasi vaksin Covid-19.

Malah beliau mempersoalkan tindakannya presidennya yang didakwanya membuat keputusan mengelirukan dan sering berubah-ubah.

“Kalau tengok kenyataan beliau, parti boleh tarik sokongan tapi ahli Parlimen boleh mengundi siapa yang mereka nak mengundi.

“Jadi apa maknanya. Kenyataan itu seolah-olah membuka ruang untuk memberi persepsi tidak bagus Umno (kepada rakyat),” katanya.

Namun pada masa sama, beliau bersetuju Naib Presiden Umno Ismail Sabri dilantik menjadi timbalan perdana menteri dan bekas naib presiden Hishammuddin Hussein menjadi menteri kanan.

Keputusan menarik diri dari menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri itu diumumkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.

Keputusan majlis kerja tertinggi (MKT) Umno itu juga menggesa agar Muhyddin Yassin segera berundur dari jawatan perdana menteri atas kegagalan menangani isu ekonomi dan pandemik.

Ia turut menetapkan wakil rakyat Umno bebas untuk mengundi mengikut pendirian masing-masing dalam persidangan Parlimen kelak.

Keputusan itu dibuat tidak sampai 24 jam selepas Muhyiddin melantik Ismail Sabri dan Hishamuddin ke jawatan baharu Kabinet.

Pelantikan itu dibuat sehari selepas kerajaan mengumumkan Parlimen akan bersidang semula selama lima hari pada 26 Julai.

Pengumuman mengenai persidangan itu dibuat pada hari akhir tempoh 14 hari yang dikemukakan Umno, yang menuntut Parlimen bersidang segera seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas perkembangan selepas itu, seorang veteran Umno berkata penerimaan akar umbi ke atas keputusan tersebut berbeza-beza, bergantung kepada pemahaman mengenai perlembagaan parti.

Keputusan itu hanya dipersoalkan ahli yang tidak faham bahawa keputusan MKT mewakili kehendak anggota, kata Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapha Yaakub.

“Ahli Umno yang faham perlembagaan dan keputusan persidangan bahagian dan perhimpunan agung tahunan (PAU) tetap menyokong MKT kerana MKT melaksanakan keputusan dan kehendak mereka.

“Yang tidak faham atau memahaminya akan tetap mempersoalkan keputusan MKT,” katanya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan menarik diri daripada menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada Rabu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2021.

Pendirian itu juga disokong Ketua Pemuda Umno Terengganu Tengku Haphiz Tengku Haphiz Tengku Putera yang berkata majlis tersebut mewakili akar umbi.

Katanya, keputusan MKT itu merupakan suara kepada akar umbi, maka mereka akan menyokong jika parti memutuskan untuk keluar daripada PN sekalipun.

Tambahnya, ahli juga masih tidak sedar dengan tuntutan Umno untuk mengambil alih jawatan perdana menteri bagi memulihkan negara.

“Sama saja kita sokong. Ramai sebenarnya tak faham bila tukar perdana menteri ini akan beri impak positif kepada suasana negara hari ini.

“Kalau tidak, tiada jalan penyelesaian kepada masalah Covid-19 dan ekonomi.

“Dan kita di peringkat akar umbi tak selesa dengan PN sebab ia beri kesan kepada kita di bawah ini sebab kita lihat banyak sikap tak hormat dalam PN jadi Umno rasa tersisih,” katanya.

Namun biarpun parti sudah membuat keputusan, Umno perlu berdepan dengan banyak proses termasuk meraih sokongan ahli Parlimen, serta rakan dalam BN dan PN bagi merealisasikannya.

Mengulas pelantikan dua pemimpin partinya, Tengku Haphiz mengakui akar umbi berbelah bahagi kerana ada yang berpendapat Umno tidak harus menerima jawatan itu.

Ini disebabkan anggota berkenaan menolak Muhyiddin dan juga PN, namun Umno tetap perlu menghormati perlembagaan, katanya.

Jelasnya, kepatuhan itu termasuk memghormati kuasa perdana menteri untuk melantik jemaah menteri.

“Bagi kita itu bentuk pelaksanaan demokrasi yang betul,” katanya.

Penyandang Timbalan Ketua Bahagian Tanah Merah, Kelantan, Mohd Almidi Jaafar, 45, pula berkata beliau dan ahli akar umbi di kawasan itu hanya menurut keputusan tersebut.

“Saya dan rakan saya di sini akur saja dengan keputusan parti.

“Itu memang pendirian kita sejak Umno bahagian Tanah Merah ini digantung pada 2019 kita ambil keputusan untuk akur saja dengan apa ditetapkan pimpinan tertinggi,” katanya.

Umno mengantung bahagian Tanah Merah pada 2019 tanpa memberikan sebarang alasan.

Keputusan itu dibuat selepas ahli Parlimen kawasan itu, Ikmal Hisham Abdul Aziz menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-14. – 11 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen