Amerika tak faham kebangkitan dunia yang rencam, kata menteri luar Rusia


MENTERI Luar Rusia Sergei Lavrov hari ini menghentam Amerika Syarikat dengan berkata yang Washington gagal memahami “kebangkitan dunia yang rencam.” – Gambar AFP, 15 Januari, 2018.

MENTERI Luar Rusia Sergei Lavrov hari ini menghentam Amerika Syarikat dengan berkata yang Washington gagal memahami “kebangkitan dunia yang rencam.”

Dalam sidang media tahunan itu, Lavrov berkata, dari sudut pandang polisi luar, tahun-tahun sebelum bukanlah mudah kerana terpaksa menangani pelbagai persoalan berhubung isu Syria, Ukraine, semenanjung Korea dan pelbagai isu global lain.

“Malangnya, rakan kita Amerika dan sekutunya masih nak berurusan tentang kata putus, dan tak mahu dengar pandangan lain politik dunia,” katanya menjawab pandangan Presiden AS Donald Trump berkaitan perjanjian nuklear Iran.

“Malah, mereka tidak mahu mengiktiraf realiti kebangkitan dunia yang rencam,” kata Lavrov.

Minggu lalu, Trump berkata AS tidak akan mengulangi sekatan nuklear Iran buat masa sekarang, tetapi akan menarik kembali perjanjian itu tahun ini jika syarat diubah.

“(AS) memutuskan untuk mengambil langkah yang, secara menyeluruh sangat meragukan untuk membendung pesaing mereka,” katanya lagi.

“Mereka menggunakan pelbagai cara, daripada menggunakan sistem pertahanan peluru berpandu global untuk sekatan unilateral, sehinggalah menggunakan undang-undang atau ancaman untuk menyelesaikan sebarang masalah antarabangsa mengikut cara mereka sendiri.”

Lavrov berkata, ancaman Washington pada 2017 telah membangkitkan ketegangan yang “sangat teruk” di dunia ini termasuklah di Korea Utara.

Ketika Trump bersedia untuk menyambut ulang tahun setahun berkuasa, Lavrov berkata tindakan AS sekarang ini, dalam beberapa kes, “lebih tegas” berbanding di bawah pentadbiran Barack Obama.

Tambahnya lagi, AS takut dengan dengan persaingan adil dalam pelbagai bidang, termasuklah pembekalan tenaga dan gas ke Eropah, selain Washington gagal menyumbang sebarang resolusi terhadap konflik di Syria.

Pada 2015, Rusia melancarkan campur tangan ketenteraan di Syria, dengan menyokong rejim Presiden Syria Bashar al-Assad. – AFP, 15 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen