SELEPAS lebih enam bulan insiden rusuhan berdarah di bangunan Capitol Amerika Syarikat (AS), pihak berkuasa membuka semula pagar dan sekatan di sekitar bangunan ikonik Washington itu semalam, tetapi beberapa sekatan akses tetap diteruskan.
Kakitangan dilihat membuka palang yang menghubungkan bahagian antara pagar logam hitam berukuran 2.4 meter itu, yang didirikan dalam masa beberapa hari susulan rusuhan ganas di benteng demokrasi AS itu.
Pekerja di lokasi memaklumkan, kerja membuka pagar itu akan dimulakan awal pagi ini, dengan operasi membuka halangan itu sepenuhnya dijangka berlangsung hingga hujung minggu ini.
Ribuan anggota pasukan Pengawal Kebangsaan ditempatkan di sekitar bangunan Capitol berikutan insiden itu, dengan pemasangan batas keselamatan meluas dilengkapi kawat duri menjadikan bangunan itu seperti kubu selama berbulan-bulan.
Perimeter di bahagian luar dibuka pada Mac, namun kewujudan pagar, lencongan trafik Capitol Hill dan larangan kepada pelawat mengundang rasa kurang senang penggubal undang-undang dari kedua-dua belah pihak.
Dalam satu surat kepada penggubal undang-undang minggu ini, Sarjan Senat di Arms Karen Gibson memaklumkan, Polis Capitol AS akan terus memantau maklumat risikan dan persekitaran ancaman yang berkaitan dan jika keadaan memerlukan, pagar sementara itu boleh dipasang semula dengan segera.
“Walaupun pagar sementara akan dialihkan, sekatan akses bangunan yang dilaksanakan berikutan wabak Covid-19 akan kekal dan dikuatkuasakan,” kata Gibson.
Speaker Dewan Nancy Pelosi melancarkan satu semakan keselamatan selepas serangan itu bagi mengkaji langkah memperkukuh keselamatan di sekitar bangunan Capitol.
Kebimbangan mengenai keselamatan menjadi isu selama berbulan-bulan. Pada 2 April, seorang polis terbunuh dan seorang lagi cedera apabila seorang lelaki yang menaiki kereta merempuh halangan di kompleks itu.
Polis Capitol AS menembak mati pemandu itu ketika dia menerjah keluar dari kenderaan dengan pisau. – AFP, 10 Julai, 2021.
Komen