SEORANG menteri Haiti berkata negara itu meminta bantuan Washington dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar tentera bagi menjaga keselamatan pelabuhan, lapangan terbang dan lokasi strategik lain selepas pembunuhan Presiden Jovenel Moise.
Amerika Syarikat (AS) berkata ia akan menghantar Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan ejen lain ke Port-au-Prince, dua hari selepas Moise dibunuh dengan kejam oleh lelaki bersenjata di rumahnya.
“Selepas pembunuhan itu, kami berpendapat tentera upahan boleh memusnahkan beberapa infrastruktur untuk menimbulkan kekacauan di negara ini.
“Dalam perbualan dengan setiausaha negara AS dan PBB, kami membuat permintaan ini,” kata Menteri Pilihan Raya Mathias Pierre.
Jabatan Negara AS dan Pentagon bersama-sama mengesahkan menerima permintaan untuk bantuan keselamatan dan siasatan, menyatakan pegawai sentiasa berhubung dengan Port-au-Prince, tetapi tidak memberitahu sama ada akan mengerahkan tentera ke sana.
PBB belum memberikan komen.
Washington menunjukkan kesediaannya untuk membantu dalam siasatan Haiti, dan jurucakap White House Jen Psaki semalam berkata ejen kanan FBI dan pegawai lain akan ke Caribbean secepat mungkin.
Di tengah-tengah ketidakpastian itu, dua lelaki kini bersaing untuk memimpin negara yang mempunyai populasi 11 juta orang, lebih separuh daripadanya berusia bawah 20 tahun.
Selepas berhari-hari ibu negara Port-au-Prince lumpur, orang ramai kembali ke jalanan dengan kedai dibuka dan pengangkutan awam kembali beroperasi pada pagi semalam.
Polis berkata 28 anggota pasukan Colombia dan AS melakukan serangan itu, tetapi mereka masih mencari dalangnya.
Pegawai kanan polis, yang bertanggungjawab secara langsung bagi keselamatan Moise, dipanggil hadir di mahkamah. – AFP, 10 Julai, 2021.
Komen