Angka maut insiden kondo runtuh di Florida kini 79


Anggota penyelamat melihat bunga diletakkan di kawasan kondominium Champlain Towers South sebagai mengenang mangsa insiden itu. – Gambar EPA, 10 Julai, 2021.

JUMLAH kematian akibat bangunan kondominium yang runtuh di Florida meningkat kepada 79 orang, selepas 14 lagi mayat ditemui daripada runtuhan, kata pihak berkuasa semalam.

“Ini jumlah yang mengejutkan dan memilukan dan mempengaruhi kita semua dengan sangat mendalam,” kata Datuk Bandar Miami-Dade Danielle Levine Cava.

Champlain Towers South, bangunan 12 tingkat di Surfside, bandar di utara Miami Beach, runtuh pada 24 Jun, ketika penghuni di dalamnya sedang tidur.

Tidak ada mangsa selamat yang ditemui sejak hari kejadian. Daripada 78 mangsa, 42 dikenal pasti dan 62 lagi masih hilang, katanya.

Pihak berkuasa Rabu lalu mengumumkan mereka memutuskan untuk beralih dari misi mencari dan menyelamatkan mangsa kepada operasi mencari mayat.

Charles Burkett, datuk bandar untuk bandar dengan populasi 6,000 penduduk itu memuji kemajuan pasukan mencari dan menyelamat yang sangat luar biasa dan bekerja sepanjang masa di lokasi tragedi.

Ketua Bomba Miami-Dade Alan Cominsky berkata mangsa dijumpai di seluruh timbunan runtuhan tetapi usaha pencarian ditumpukan di kawasan tangga runtuh, kemungkinan ramai terperangkap di situ dalam usaha melarikan diri.

Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca keruntuhan bangunan itu. – AFP, 10 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen