PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden semalam sekali lagi memberitahu rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin untuk mengambil tindakan terhadap penggodam perisian ransomware yang beroperasi di Rusia, namun tidak dihiraukan Kremlin.
White House berkata Biden dan Putin bercakap hampir sejam melalui telefon, fokus kepada ancaman ransomware dan berkenaan membenarkan bantuan kemanusiaan ke Syria, di mana Rusia adalah penyokong utama rejim Assad.
Bercakap kepada pemberita, Biden berkata beliau menyatakan dengan jelas yang kita menjangkakan mereka untuk bertindak terhadap kumpulan ransomware.
Ia adalah mesej sama disampaikan Biden secara peribadi kepada Putin pada mesyuarat sidang kemuncak pertama mereka di Geneva pada Jun.
Kremlin mengetepikan isu itu namun menegaskan selepas panggilan telefon semalam, Washington tidak meminta bantuan.
“Walaupun Rusia bersedia untuk sama-sama memerangi kegiatan jenayah dalam bidang teknologi maklumat, sejak sebulan lalu tiada permintaan daripada jabatan AS,” kata kenyataan pejabat Putin.
Susulan dakwaan Kremlin itu, seorang pegawai kanan pentadbiran Biden berkata terdapat pelbagai permohonan dan spesifik untuk tindakan itu.
“AS jelas mengenai tanggungjawab Russa,” kata pegawai yang enggan dikenali.
Serangan ransomware di AS dan negara lain meningkat dengan mendadak sejak beberapa tahun lalu, termasuk membabitkan operasi berprofil tinggi yang menutup sebuah saluran paip bahan api utama di timur AS.
Sasaran lain termasuk jabatan polis, hospital dan syarikat swasta. – AFP, 10 Julai, 2021.
Komen