Singapura sumbang bekalan, peralatan perubatan kepada Indonesia


Indonesia menyaksikan peningkatan mendadak korban dan kes baharu Covid-19 dengan 38,391 kes dan 852 kematian dilaporkan semalam. – Gambar EPA, 10 Julai, 2021.

SINGAPURA bersolidariti dengan Indonesia yang sedang menghadapi lonjakan jangkitan Covid-19 dengan menyumbangkan sejumlah bekalan dan peralatan perubatan.

Sumbangan awal itu diterbangkan oleh dua pesawat C-130 Angkatan Udara Republik Singapura yang berlepas dari Pangkalan Udara Paya Lebar ke Jakarta, Indonesia pagi semalam.

Bantuan tambahan akan dihantar melalui tentera laut republik itu.

Majlis penyerahan turut dihadiri Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan dan Duta Indonesia ke Singapura Suryo Pratomo.

Dalam ucapannya, Balakrishnan berkata sebagai jiran dan rakan baik, Singapura dan Indonesia akan terus saling menyokong dalam mengatasi cabaran Covid-19.

“Sejak setahun setengah yang lalu, kita semua menghadapi cabaran Covid-19.Tentu sahaja dalam beberapa bulan kebelakangan ini dengan penularan varian Delta ke seluruh dunia, cabaran kian getir.

“Situasi yang dihadapi Indonesia kini juga disebabkan oleh varian Delta, dan sebagai jiran dan rakan karib kami bersolidariti dengan seluruh rakyat Indonesia,” katanya.

Bantuan itu atas permintaan Indonesia.

Bekalan bantuan termasuk silinder oksigen, pemekat oksigen, alat bantuan pernafasan, dan kelengkapan perlindungan diri (PPE).

“Jika anda masih ingat, pada fasa awal lalu, kita juga menyokong Indonesia dengan menghantar kit ujian dan peralatan lain,” katanya.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini Indonesia menyaksikan peningkatan mendadak korban dan kes baharu Covid-19. Pada Jumaat, negara di Nusantara itu mencatatkan 38,391 kes dan 852 kematian. Sehari sebelum itu angka korban sebanyak 1,040 orang. – Bernama, 10 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen