Indonesia beri vaksin Covid-19 ketiga untuk petugas kesihatan


Seorang doktor sedang melakukan persiapan untuk program suntikan vaksin Covid-19 secara besar-besaran untuk pekerja kesihatan di Jakarta, Indonesia. – Gambar EPA, 10 Julai, 2021.

PETUGAS kesihatan di Indonesia akan diberikan vaksin ketiga menggunakan vaksin jenis Moderna bagi meningkatkan lagi ketahanan diri terhadap Covid-19.          

Dalam sidang media menerusi webinar hari ini Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin berkata, program vaksinasi ke-3 (booster) akan dilakukan mulai minggu depan melibatkan 1.47 juta tenaga kesihatan.

Petugas kesihatan atau frontliners merupakan golongan pertama diberikan vaksin menerusi program vaksinasi nasional yang bermula 13 Januari lepas, menggunakan vaksin jenis Sinovac.         

 Menurut laporan media tempatan, sejak awal pandemik sehingga 28 Jun lepas, direkodkan sebanyak 1,031 petugas kesihatan di republik itu terkorban akibat Covid-19.

Menurut data yang disiarkan di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, lebih 35.7 juta menerima vaksin pertama, manakala lebih 14.8 juta menerima vaksin kedua di Indonesia.

Sejak Jun lepas, kes positif baharu mula meningkat mendadak akibat varian Delta, yang setakat hari ini mencatatkan lebih 2.4 juta kes positif keseluruhan.

Bagi tempoh 24 jam lepas, Indonesia mencatatkan 37,124 kes positif baharu, manakala 871 lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini meningkat kepada 64,631 orang. – Bernama, 10 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen