Hampir 6,000 korban Covid-19, hampir 1,000 di ICU


Raevathi Supramaniam

Sebanyak 77 kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini menunjukkan penurunan berbanding semalam sebanyak 135 kematian dicatatkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2021. 

KEMENTERIAN Kesihatan hari ini melaporkan 77 kematian akibat Covid-19, menunjukkan penurunan berbanding semalam sebanyak 135 kematian dicatatkan.

Jumlah kematian baharu ini menjadikan angka keseluruhan sebanyak 5,980 kes dilaporkan.

Jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kekal tinggi seramai 959 orang dengan 456 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata, 9,180 kes Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir dengan sebahagian besar kes dikesan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Kes baharu hari ini juga melebihi 5,713 kes pulih.

Jumlah kes keseluruhan sebanyak 817,838 jangkitan di mana 80,665 adalah kes aktif.

Noor Hisham berkata, 82% kes yang dilaporkan hari ini adalah dari ujian individu yang tidak berkaitan dengan kluster.

Sebilangan besar kes melibatkan pesakit Kategori 1 dan 2 yang ditempatkan di pusat penilaian Covid-19 di seluruh Selangor dan ada yang diminta untuk menjalani kuarantin di rumah.

Daripada 77 kematian yang dilaporkan hari ini, 28 dari Selangor, 17 dari Kuala Lumpur, sembilan dari Melaka, masing-masing lima dari Johor dan Negeri Sembilan, empat dari Pahang, tiga dari Sarawak, masing-masing dua dari Perak dan Terengganu dan masing-masing satu dari Kedah dan Labuan.

Mangsa tertua adalah wanita berusia 87 tahun yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Dia mempunyai sejarah diabetes, tekanan darah tinggi, dislipidemia dan strok.

Mangsa termuda adalah wanita berusia 33 tahun yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh dan menghidap penyakit asma. – 9 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen