KEMENTERIAN Kesihatan hari ini melaporkan 9,180 kes baharu Covid-19, yang tertinggi pernah direkodkan dengan sebilangan besar kes dikesan di Selangor dan Kuala Lumpur.
Rekod tertinggi sebelum ini dicatat pada 29 Mei apabila sebanyak 9,020 kes dilaporkan.
Selangor merekodkan 4,400 kes dalam tempoh 24 jam terakhir sementara Kuala Lumpur 1,271 kes.
Jumlah kes yang tinggi di Lembah Klang disebabkan ujian agresif dilakukan di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kedua-dua negeri ini.
Sarawak pula mencatatkan 406 kes dengan Perlis hanya melaporkan satu kes jangkitan baharu.
Jumlah kes keseluruhan di Malaysia kini sebanyak 817,838 kes dengan 277,393 kes keseluruhan dicatatkan dari Selangor.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata, peningkatan jumlah kes harian disebabkan oleh pemeriksaan bersasar yang dilakukan di kawasan PKPD.
Sebanyak 34 kawasan di Selangor dan 14 di Kuala Lumpur ditempatkan di bawah PKPD selama dua minggu sehingga 14 Julai.
Noor Hisham berkata, 10% populasi di kawasan berkenaan sudah diuji, dengan tumpuan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi.
Dari 47,811 kes yang dilaporkan dari 1 Julai hingga 7 Julai, 42.02% disumbang oleh Selangor, sementara Kuala Lumpur menyumbang 13.01% kes.
Lembah Klang kini menyumbang lebih 60% jangkitan Covid-19 di negara ini.
Kadar kebolehjangkitan (Rt) kini 1.09, meningkat dari 1.07 dari hari sebelumnya. Kali terakhir Rt berada di bawah 1.0 adalah pada 27 Jun. – 9 Julai, 2021.

Komen