MALAYSIA mengagihkan 376,909 dos vaksin Covid-19 semalam, hampir dua kali ganda daripada 200,000 dos harian yang disasarkan, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Daripada jumlah itu, 222,927 individu menerima dos pertama manakala 153,982 orang menerima dos kedua.
Ini merupakan hari keempat berturut-turut jumlah itu melepasi sasaran 100,000 dos.
Jawatankuasa itu berkata 10,413,270 orang telah divaksin setakat ini dengan 3,190,789 atau 9.8% penduduk melengkapkan dua dos manakala 7,222,481 atau 22.1% penduduk menerima dos pertama.
Sarawak mencatatkan kadar vaksinasi tertinggi dengan 45.9% penduduknya menerima dos pertama dan 18.8% telah lengkap vaksinasi.
Selangor yang mencatatkan kes jangkitan harian Covid-19 tertinggi, masih merekodkan kadar vaksinasi paling rendah dengan hanya 6.8% penduduknya divaksin sepenuhnya dan 20.1% menerima dos pertama.
Semalam, Selangor mencatatkan kes jangkitan tertinggi dalam sehari dengan 4,152 kes jangkitan, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu kepada 272,993 dengan 9,113 kes aktif.
Peningkatan kes di Selangor juga disebabkan ujian saringan yang dijalankan secara meluas di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan.
Sementara itu Malaysia merekodkan 8,868 kes jangkitan baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 808,658.
Putrajaya menyasarkan untuk memvaksin sepenuhnya penduduk menjelang pertengahan bulan ini. – 9 Julai, 2021.
Komen