Lanjut kontrak setahun hanya untuk tutup mulut, kata doktor junior


Raevathi Supramaniam

Hanya 789 daripada 23,077 doktor kontrak diberi jawatan tetap sejak 2016, menurut data KKM.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2021.

TAWARAN lanjutan kontrak selama setahun oleh Kementerian Kesihatan (KKM) hanyalah bertujuan untuk menyekat rasa tidak puas hati, kata doktor junior.

Beberapa doktor yang ditemu bual The Malaysian Insight dengan syarat identiti mereka dirahsiakan berkata, KKM sepatutnya mencari jalan penyelesaian kerana isu berkenaan status doktor kontrak akan berlarutan selepas pandemik Covid-19 berakhir, kata mereka.

“Tawaran itu hanyalah untuk menutup mulut semua orang. Sama seperti anda minta lain, tapi diberi yang lain pula buat sementara waktu sampailah anda lupa apa yang diminta pada mulanya,” kata seorang doktor di Melaka.

Selasa lalu, KKM mengeluarkan pekeliling  yang menyebut doktor kontrak akan ditawarkan pelantikan semula sebagai pegawai kontrak berasaskan kontrak daripada 5 Disember 2021 hingga 4 Disember 2022.

Sistem doktor kontrak diperkenalkan pada 2016, bertujuan untuk mempercepatkan tempoh masa menunggu graduan perubatan bagi menjalani latihan siswazah di hospital.

Doktor junior diberi pakej kontrak selama lima tahun, iaitu kontrak tiga tahun dengan pilihan lanjutan untuk dua tahun.

Bagaimanapun, berdasarkan data KKM hanya 789 daripada 23,077 pegawai perubatan kontrak diberi jawatan tetap sejak 2016.

“Kebanyakan pegawai kerajaan dari sektor lain tidak bekerja sejak negara dilanda pandemik. Tetapi kami pula ditempatkan di pusat kuarantin dan sebagainya.

“Tugas kami sebenarnya sama sahaja dengan dokor lantikan tetap. Ada masa kami dibayar gaji lebih rendah, kami tak boleh sambung pengajian ke peringkat Sarjana, tak dapat pinjaman perumahan.

“Malah pentadbir awam pun kakitangan tetap, tetapi kami tidak,” katanya.

Tambahnya, sejak para doktor kontrak menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap KKM dan terlibat dalam gerakan Code Black, ramai yang diberi amaran supaya tidak terus membuka mulut atau berdepan tindakan disiplin.

“Pada 1 Julai, beberapa doktor kanan di hospital kami disoal polis, jika ada dalam kalangan kami menyertai gerakan Code Black.

“Beberapa ketua rakan-rakan saya diberi amaran supaya jangan melibatkan diri, atau dikenakan tindakan disiplin,” kata doktor wanita itu, menambah gerakan itu satu-satunya cara untuk menyuarakan rasa tidak puas hati kerana mereka tidak boleh membantah di jalanan.

Gerakan Code Black dimulakan oleh sekumpulan pegawai perubatan sebagai tanda protes terhadap ketidakadilan kepada doktor kontrak. Ia berlangsung dari 1 Julai sehingga kempen “Black Monday” pada 12 Julai. 

Seorang doktor di Sabah yang ditemu bual The Malaysian Insight juga berkata tawaran lanjutan selama setahun itu hanyalah untuk menyekat suara doktor kontrak.

“Tujuannya untuk menutup menghentikan isu semasa, untuk meredaka suasana.”

Katanya, KKM perlu menetapkan kriteria yang jelas untuk doktor kontrak diserap ke jawatan tetap. – 10 Julai, 2021. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen