25% wilayah China dikategorikan kawasan perlindungan ekologi 


Sistem zon perlindungan alam sekitar yang agak lengkap telah dibentuk di China untuk melindungi alam semulajadi.– Gambar EPA, 9 Julai, 2021.

CHINA menetapkan 25 peratus daripada wilayah daratannya sebagai kawasan perlindungan ekologi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan Ekologi Kementerian Ekologi dan Persekitaran China, Cui Shuhong pada satu sidang media semalam memaklumkan, kawasan itu merangkumi zon utama yang berfungsi ekologi, zon sensitif dan zon rawan alam sekitar, serta zon utama bercirikan biodiversiti.

“Sistem zon perlindungan alam sekitar yang agak lengkap telah dibentuk di China untuk melindungi alam semulajadi dan memulihara persekitaran habitat hidupan liar.

“Keadaan hidup spesies haiwan yang hampir pupus termasuk panda liar dan antelop Tibet banyak diperbaiki dan populasi beberapa spesies haiwan yang terancam seperti harimau Siberia dan gajah Asia telah meningkat,” ujar Cui.

Kini, bilangan panda liar menyaksikan peningkatan kepada lebih 1,800 ekor, sekali gus menukar status haiwan ini dari peringkat hampir pupus kepada peringkat mudah terancam.

Setakat 2019, jumlah zon perlindungan alam sekitar perlbagai peringkat di China mencatat sebanyak 11,800 yang merangkumi kawasan seluas 170 juta hektar.

Angka itu merupakan 18 peratus wilayah di negara ini yang secara tidak langsung mencapai  Sasaran Biodiversiti Aichi dengan lebih awal, iaitu 17 peratus menjelang 2020 yang dikemukakan dalam Konvensyen Kepelbagaian Biologi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – Bernama, 9 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen