Doktor kontrak akan dihantar bertugas ke hospital kritikal


Doktor kontrak bawah gred UD41 yang tamat latihan akan dihantar ke hospital kritikal yang mengalami masalah kekurangan kakitangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2021.

PEGAWAI kesihatan kontrak bagi kumpulan 2016-2019 di bawah gred UD41, yang tamat latihan akan dihantar bertugas ke hospital yang dalam keadaan kritikal, menurut surat dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Doktor diarahkan tidak menunggu hingga urusan berkaitan tempat bertugas tetap atau lantikan kontrak diselesaikan dan melapor diri ke jabatan kesihatan negeri ditetapkan hari ini.

Surat bertarikh 7 Julai yang dilihat The Malaysian Insight itu ditandatangani oleh setiausaha jabatan sumber manusia kementerian Zainal Alhakab Seman.

“Pegawai Perubatan Gred UD41 lantikan kontrak 2016-2019 yang telah menamatkan latihan siswazah dan mendapat pendaftaran penuh akan ditempatkan semula di penempatan baharu tanpa menunggu urusan tawaran pelantikan semula komtrak selesai,” katanya.

Beliau berkata kementerian memutuskan untuk menghantar doktor ke hospital yang berdepan masalah kekurangan tenaga kerja yang kritikal, sebagai sebahagian usaha untuk membendung virus Covid-19.

Mereka yang melapor tugas hari ini akan berkhidmat hingga 7 Januari, 2022 sementara tempoh perkhidmatan untuk yang mula bertugas pada 15 Julai akan berakhir 14 Januari, 2022.

Doktor berkenaan akan nanti perlu memaklumkan kepada jabatan kesihatan negeri sebaik saja tempoh perkhidmatan mereka tamat.

Ketua jabatan pada masa ini juga diarahkan untuk menyelesaikan perkara berkaitan doktor yang akan keluar bertugas ke tempat lain.

Sumber berkata lebih ramai doktor akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) 2.0 di Serdang, yang pada masa ini amat memerlukan tambahan kakitangan.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dalam satu kenyataan berkata seramai 110 kakitangan kesihatan terdiri daripada 75 doktor, paramedic dan pemandu dari Kedah, Perak dan Terengganu serta 43 doktor dari hospital di Lembah Klang dihantar bertugas ke Maeps PKRC 2.0 bagi tempoh enam bulan bermula hari ini. – 8 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen