PAS ulangi sokong Muhyiddin PM, kata Hadi


Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu menyokong sepenuhnya Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2021.

PAS tetap kekal menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, kata presidennya Abdul Hadi Awang, ketika Umno awal hari ini mengumumkan menarik balik sokongannya dan mahu seorang perdana menteri baharu dilantik.

Sokongan PAS kepada Muhyiddin tidak terbelah bahagi daripada semua 18 ahli Parlimennya, kata Hadi yang juga ahli Parlimen Marang.

“PAS mempertegaskan sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, termasuklah sokongan tidak berbelah bahagi sekalian 18 ahli Parlimen PAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Hadi ini mengulangi pendirian PAS yang beliau umumkan genap sebulan yang lalu.

Dalam kenyataan hari ini beliau juga sekali lagi menegaskan kekesalan PAS terhadap usaha mahu menggugat kestabilan politik, terutama ketika kerajaan sedang menangani krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Hadi juga menyeru rakyat untuk menyokong langkah kerajaan menangani penularan Covid-19, terutamanya pelan pemulihan negara untuk keluar daripada pandemik.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Hadi menyamakan mereka yang bermain politik sehingga menjejaskan kestabilan negara seperti kumpulan orang yang menebuk bahtera dari dalam kerana gopoh hendak mendapatkan air, yang katanya pernah disebut Nabi Muhammad.

“Mereka perlu dihalang agar semuanya selamat,” katanya dalam satu kenyataan, yang dikeluarkan dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 9 Jun.

Hadi ketika itu dirawat di IJN dan difahamkan sudah dibenarkan pulang ke rumah awal minggu ini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi awal hari ini mengumumkan pendirian parti menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri kerana kerajaannya didakwa gagal.

Penarikan balik sokongan itu berkuat kuasa serta merta, kata Zahid, selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bermesyuarat lebih empat jam malam tadi.

Zahid juga mengumumkan desakan Umno mahu Muhyiddin letak jawatan perdana menteri segera dan tempatnya diganti seorang perdana menteri sementara sehingga satu pilihan raya diadakan selepas keadaan pandemik Covid-19 terkawal.

Peguam Negara Idrus Harun dalam satu kenyataan berkata Muhyiddin masih kekal sebagai perdana menteri kerana penarikan balik sokongan kepadanya bukan daripada anggota Dewan Rakyat tetapi parti politik yang membentuk kerajaan. – 8 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen