Lain dibincang dalam mesyuarat, lain yang Zahid umum, dakwa Annuar Musa


Annuar Musa menggesa Ahmad Zahid Hamidi supaya menjelaskan pendirian sebenar Umno berdasarkan mesyuarat MKT malam tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2021.

AHLI Parlimen Umno Annuar Musa mendakwa Ahmad Zahid Hamidi berbohong apabila mengumumkan parti menarik balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin untuk jadi perdana menteri.

Pengumuman Zahid, selepas mesyuarat lebih empat jam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi, tidak menggambarkan inti pati dan rumusan mesyuarat, katanya.

“Mengapakah ini terus terjadi berkali-kali. Lain dibincang, lain pula dirumuskan,” katanya dalam satu komentar di Facebook.

Berdasarkan maklumat yang sampai kepadanya, Annuar berkata ada banyak pandangan berbeza yang disuarakan oleh 25 ahli MKT Umno tetapi tiada konsensus yang ketara dan tiada undian dibuat.

Perbincangan juga tidak berkisar pada soal perlu atau tidak Umno keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), katanya yang juga menteri dalam Kabinet Muhyiddin.

Annuar yang juga bekas setiausaha agung Umno dan Barisan Nasional (BN) berkata beliau dihubungi oleh beberapa ahli MKT Umno yang memaklumkan kepadanya mengenai perkara itu selepas Zahid membuat pengumuman lebih kurang pukul 1 pagi awal hari ini.

Ketua Umno bahagian yang juga ahli MKT turut mengesahkan perkara itu, katanya, yang juga menteri dalam Kabinet Muhyiddin.

Annuar juga berkata tinjauan lanjutnya mendapati kenyataan media itu sudah disiapkan lebih awal sebelum mesyuarat, yang bermula pada 8.30 malam.

“Jika benar,ternyata sekali lagi MKT dipermainkan, dan ini amat serius,” tambahnya.

Tindakan Zahid itu menyebabkan banyak ketua Umno bahagian “mengeluh dan dalam kekeliruan”, kata Annuar, merujuk kepada perbualan mereka di aplikasi WhatsApp kumpulan ketua-ketua Umno bahagian.

Sehubungan itu, Annuar menggesa Zahid supaya menjelaskan pendirian sebenar Umno berdasarkan mesyuarat MKT Umno malam tadi.

“Dalam kata lain, presiden Umno wajib menjelaskan kedudukan sebenar. Segera keluar kenyataan yang benar.

“Lambat laun, kedudukan sebenar akan terserlah jua. Tak baik bagi parti kita,” tambahnya.

Awal pagi tadi, Zahid mengumumkan pendirian Umno tidak lagi menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri kerana kerajaannya didakwa gagal.

Penarikan balik sokongan itu berkuat kuasa serta merta, katanya.

Zahid juga mengumumkan desakan Umno mahu Muhyiddin letak jawatan perdana menteri segera dan tempatnya diganti seorang perdana menteri sementara.

Fokus perdana menteri sementara itu terhad untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19 serta memastikan rakyat disuntik vaksin dengan segera.

“Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, perdana menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya, dalam pengumuman yang dibuat lebih kurang pukul 1 pagi tadi.

Annuar dipecat oleh Zahid daripada jawatan setiausaha agung BN selepas mengambil pendirian yang dianggap berbeza mengenai kerjasama Umno dengan Bersatu.

Annuar juga dikritik dalam kalangan ahli dan pemimpin Umno yang menganggapnya tidak mewakili suara akar umbi parti.

Ahli Parlimen Ketereh itu menafikan dakwaan dan berulang kali menegaskan rasional pendirian politik beliau yang katanya, tidak pernah bercanggah dengan keputusan rasmi parti sejak membentuk kerajaan bersama Muhyiddin. – 8 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen