Pelajar ingin ke UK dalam dilema susulan pusat visa ditutup ketika PKP


Raevathi Supramaniam

PELAJAR Malaysia yang merancang ke United Kingdom (UK) untuk melanjutkan pelajaran tidak akan dapat berbuat demikian kerana pusat permohonan visa ditutup sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pusat pendidikan yang menyediakan perkhidmatan penempatan pelajar di luar negara juga berkata tidak jelas apakah pelajar Malaysia dapat tiba tepat pada masanya untuk permulaan semester baharu.

“Semester di UK akan bermula pada September dan sudah menasihati semua pelajar untuk menghantar permohonan mereka terlebih dahulu secara dalam talian. Dengan cara ini, sekurang-kurangnya Jabatan Imigresen menyedari mereka merancang untuk pergi ke luar negara,” kata Penny Lim, pengurus cawangan JM Education Group di Petaling Jaya kepada The Malaysian Insight.

Lim berkata pada tahun biasa sebelum pandemik, beliau memberi rundingan kepada lebih 100 pelajar yang merancang belajar ke luar negara tetapi sejak wabak ini, jumlah ini berkurangan.

“Sempadan Australia masih ditutup. Jadi, pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di sana tidak dapat berbuat demikian.

“Bagi UK, kami sekarang hanya menunggu pusat visa dibuka semula. Mereka tidak dapat beroperasi kerana bukan sebahagian daripada perkhidmatan penting,” katanya.

Selepas permohonan dihantar secara dalam talian, pelajar perlu hadir di pusat visa untuk mendapatkan biometrik mereka, yang hanya boleh dilakukan pemohon sendiri.

“Pemeriksaan kesihatan dan penerbangan mudah diuruskan tetapi visa yang ditunggu semua orang sekarang,” kata Lim.

Pusat permohonan visa terbesar di Malaysia, VFS Global juga ditutup sejak PKP yang bermula pada 1 Jun, dan kini dilanjutkan sehingga suatu tarikh yang tidak pasti.

VFS Global memproses permohonan visa untuk negara Eropah, seperti UK dan Jerman serta Kanada, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Notis di laman webnya masih memaparkan mesej lama yang mengatakan ia akan ditutup sehingga 28 Jun, tarikh tamat asal PKP.

The Malaysian Insight menghubungi VFS Global tetapi masih belum mendapat jawapan.

Bagi Laura Andrews, 25, pelajar yang ingin ke UK, sejak lebih setahun melalui kehidupan dan sekatan akibat wabak menyebabkan beliau menerima sahaja apa yang berlaku.

“Saya rasa kita sudah biasa dengan pandemik. Saya terima sahaja apa yang bakal terjadi. Tidak ada apa yang dapat saya lakukan.”

Beliau merancang mengikuti kursus lanjutan praktikal undang-undang di University of the West of England dan penerbangannya ke UK sudah ditempah pada 4 Ogos.

Laura tidak menyedari pusat visa ditutup kerana beliau memohon visa dengan bantuan kampus wilayah universiti.

“Saya tidak tahu pusat itu ditutup, tetapi dalam taklimat pusat wilayah universiti saya memberitahu kami tidak mempunyai pilihan selain menunggu,” katanya.

Situasinya berbeza bagi pelajar yang menuju ke beberapa negara lain seperti KLC Placement Services yang menguruskan pelajar Malaysia mengikuti kursus sains hayat di Poland, Indonesia, Rusia dan Bangladesh.

“Bagi kursus sains hayat seperti perubatan dan pergigian, tahun pertama pada dasarnya adalah program teori dan mereka tidak akan pergi ke makmal.

“Oleh itu, mereka (universiti) membenarkan pelajar mengikuti kelas dalam talian untuk tahun pertama dan pelajar berada di Malaysia,” kata Thulasi Margali, CEO syarikat itu.

Bagaimanapun, beliau berkata Poland memberi pengecualian kepada pelajar antarabangsa dan menggalakkan mereka datang jika boleh. 

“Kami menjalani semester pertama (Disember 2020) secara dalam talian dan semester kedua pada Februari, kami menghantar 18 hingga 20 pelajar ke Poland. Sebaik tiba di sana, kerajaan Poland memberikan suntikan vaksin kepada mereka.”

Margali berkata tiada masalah dengan permohonan visa untuk syarikatnya kerana beliau berurusan dengan kedutaan negara masing-masing secara langsung, asalkan ujian Covid-19 dilakukan dan universiti memberikan persetujuan untuk datang.”

Margali berkata kira-kira 30 hingga 40 pelajar yang diuruskannya akan terbang ke Indonesia pada Ogos untuk mengikuti kursus perubatan dan pergigian.

“Kedutaan Indonesia akan mendapat senarai nama dari universiti terbabit, kemudian mereka akan meneruskan urusan bagi mendapatkan visa.” – 8 Julai, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen