Ahli politik guna Telegram untuk dekati rakyat, kata penganalisis


Raevathi Supramaniam

Aplikasi Telegram yang dibangunkan oleh Rusia di platform iOs dan Android mempunyai ciri yang memenuhi keperluan ahli politik untuk mencapai sebilangan besar rakyat. – Gambar EPA 10 Julai, 2021.

APLIKASI popular Telegram, terutamanya di kalangan orang Melayu, menarik ahli politik seperti Najib Razak dan Syed Saddiq Abdul Rahman untuk melengkapkan usaha jangkauan mereka di platform media sosial yang lain, kata penganalisis.

Telegram, aplikasi yang dibangunkan oleh Rusia di platform iOs dan Android mempunyai ciri yang memenuhi keperluan ahli politik untuk mencapai sebilangan besar rakyat, seperti ciri kumpulan yang membolehkan lebih ramai orang mengikutinya. 

“Penggunaan Telegram di kalangan orang Melayu lebih tinggi berbanding bukan Melayu. Bukan Melayu akan kekal dengan WhatsApp dan masyarakat Cina beralih ke WhatsApp,” kata ketua bahagian pemasaran analitik data dan pemasaran digital syarikat perhubungan awam Lumos Hill + Knowlton Malaysia, Kelvin Kiran Anthony. 

“Lebih banyak privasi dalam Telegram, lebih banyak kumpulan dan pengguna sangat sukakan identiti kumpulan,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Peralihan ke Telegram juga didorong oleh penggunaan platform oleh Putrajaya bagi menyebarkan maklumat mengenai Covid-19.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menubuhkan kumpulan Telegram tahun lalu untuk memastikan rakyat mempunyai akses mudah ke semua maklumat dan pengumuman yang berkaitan dengan Covid-19.

Kumpulan ini, yang mempunyai 1.3 juta pelanggan, berkongsi maklumat mengenai prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, jumlah jangkitan harian, kawasan yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan yang dipertingkatkan dan pengumuman lain yang dibuat oleh pihak berkuasa yang berkenaan. 

Anthony berkata kerana terdapat peningkatan jumlah pengguna Melayu, adalah logik bagi ahli politik seperti bekas perdana menteri Najib, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Pengasas Muda Syed Saddiq, untuk menggunakan platform tersebut.

“Ahli politik menggunakannya untuk memacu jenama peribadi mereka. Pada akhirnya mereka ingin diundi dan menunjukkan bahawa mereka melakukan tugas dengan baik.

“Telegram mencapai tahap akar umbi dan jika di situlah penyokong anda, anda juga boleh memanfaatkannya,” katanya.

Dari sudut praktikal, Telegram membolehkan penggunanya menjangkau semua pengikut mereka sekaligus, tidak seperti Facebook.

“Anda dapat menjangkau semua pengikut sekaligus tanpa memerlukan bentuk peningkatan, tidak seperti platform sosial lain yang umumnya mempunyai jangkauan organik yang rendah dari 10% hingga 20%.”

Untuk mencapai demografi yang lebih besar di Facebook, pengguna perlu membelanjakan wang bagi meningkatkan posting sehingga mendapat lebih banyak penglibatan.

Eksekutif media sosial di syarikat Isobar Janelle Wong berkata Telegram menarik minat ahli politik yang ingin berkomunikasi secara langsung dengan pengikut mereka.

“Setiap platform media sosial adalah untuk penggunaan yang berbeza. Contohnya, Facebook sekarang lebih banyak untuk orang tua, sementara orang muda menggunakannya sebagai umpan berita tetapi lebih aktif menyiarkan kandungan di Instagram atau TikTok.

“Telegram lebih popular untuk orang berkomunikasi secara berkumpulan,” katanya. – 10 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen