SEKURANG-KURANGNYA 72 orang dimasukkan ke empat hospital setelah lantai mezanin bangunan bursa saham Indonesia di Jakarta Selatan runtuh, lapor media republik itu.
Siasatan polis mendapati kejadian waktu rehat makan tengah hari itu bukan disebabkan letupan bom.
“Setakat ini, kita boleh pastikan bahawa ia bukan berpunca akibat bahan letupan atau bom,” kata jurucakap polis, Setyo Wasisto seperti dipetik oleh The Jakarta Post.
Punca kejadian masih disiasat walaupun keutamaan pasukan penyelamat kini adalah menyelamatkan mangsa cedera, lapor Metro TV dipetik AFP.
Breaking News: Balkon atap tower II Gedung BEI ambruk https://t.co/iS5NrKXJZh pic.twitter.com/wsVzFvxWEf
— METRO TV (@Metro_TV) January 15, 2018
“Kami masih menyiasat punca kejadian, tetapi keutamaan kami adalah kecederaan,” kata jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono kepada Metro TV.
Rakaman disiarkan media negara itu menunjukkan beberapa orang terbaring di lantai dan ada juga sedang diangkat keluar bangunan.
Seorang wartawan Metro TV yang berada di situ untuk membuat liputan pasaran saham berkata kejadian itu berlaku selepas waktu makan tengah hari.
“Ada bunyi kuat jadi orang di dalam serta merta berlari ke luar bangunan,” kata Marlia Zein.
Kompleks bursa saham dengan dua menara setinggi 32 tingkat itu masing-masing siap dan beroperasi pada 1994 dan 1998. Lantai yang runtuh hari ini terletak di Menara 2 yang siap pada 1998.
Kompleks itu turut menempatkan pejabat Bank Dunia cawangan Indonesia di tingkat 12. – Agensi, 15 Januari, 2018.
Komen