Indonesia perluas sekatan Covid-19 di seluruh negara


Gambar yang diambil dengan dron menunjukkan jalan raya kosong di Jakarta, Indonesia, ketika pemerintah memperketat dan memperluaskan usaha melawan jangkitan Covid-19 di republik itu. – Gambar EPA, 7 Julai, 2021.

INDONESIA memperluas sekatan di seluruh negara pada Rabu bagi melawan gelombang Covid-19, ketika jumlah kematian meningkat dengan pemerintah memberi amaran perkara terburuk bakal berlaku.

Larangan terbaharu dikuat kuasa di puluhan bandar secara meluas dari pulau Sumatera di barat hingga ke Papua ketika varian Delta merobek kepulauan Asia Tenggara itu setelah menyerang pulau Jawa yang padat dengan penduduk.

“Kes juga meningkat di wilayah lain dan kita perlu beri perhatian kepada ketersediaan hospital” di sana, kata menteri kanan Airlangga Hartarto, menambah: “pemerintah telah putuskan untuk memperluas larangan” hingga 20 Julai.

Hospital di republik itu berhadapan tekanan tinggi ketika ramai pesakit membanjiri sistem penjagaan kesihatan.

Minggu ini pemerintah melancarkan usaha mengekang virus di Jakarta, Jawa dan Bali yang pada Selasa mencatatkan 31,189 jangkitan baharu dengan 728 kematian.

Kawasan terjejas oleh larangan yang diperluaskan diumumkan pada Rabu mempunyai jumlah kes harian jauh lebih rendah berbanding pusat penularan Covid di Jawa, rumah kepada lebih separuh daripada hampir 270 juta penduduk Indonesia.

Bagaimanapun perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terhad di wilayah-wilayah itu sudah dalam keadaan parah dan dengan kes-kes baharu dijangka merosakkan lagi sistem kesihatan, kata Hartarto memberi amaran.

“Kemudahan di wilayah-wilayah itu terbatas dan penuh,” katanya, menambah peraturan yang lebih ketat mungkin dibuat jika jangkitan terus meningkat.

Sekatan lebih luas termasuk memaksa sebahagian besar pekerja tidak penting bekerja dari rumah, dan juga mengehadkan waktu kedai dan restoran.

Masjid dan gereja di negara majoriti Muslim juga ditutup di kawasan berisiko tinggi. – AFP, 7 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen