Sydney lanjut arahan sekatan pergerakan


George Street di kawasan perniagaan di tengah Sydney lengang susulan penguatkuasaan arahan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19 varian Delta. – Gambar EPA, 7 Julai, 2021.

LEBIH lima juta penduduk Sydney terpaksa melalui sekurang-kurangnya seminggu lagi sekatan pergerakan Covid-19, kata pihak berkuasa Australia selepas mengesan 27 kes baru, hari ini.

Arahan duduk di rumah dikuatkuasakan di bandar terbesar di Australia selama dua minggu kerana pihak berkuasa berusaha mengekang penularan ancaman Covid-19 varian Delta.

Pegawai negeri berkata kemajuan sudah dicapai, tetapi kelonggaran bagi membenarkan penduduk keluar bekerja, bersenam dan membeli-belah perlu diteruskan.

Ketua Menteri New South Wales Gladys Berejiklian berkata strain Delta ialah penentu keadaan, sangat mudah disebarkan dan mesti dihapuskan daripada masyarakat.

Beliau berkata pelanjutan sekatan pergerakan, merangkumi penutupan sekolah ialah peluang terbaik bagi memastikan ia dilaksana hingga sebahagian besar rakyat divaksinasi.

“Kami tidak mahu berada dalam keadaan berterusan beralih di antara sekatan pergerakan dan tiada sekatan pergerakan,” katanya.

Sekatan pergerakan itu tamat pada 16 Julai ini.

Pendekatan sifar Covid-19 Australia menyaksikan siri sekatan pergerakan tergempar di beberapa bandar di seluruh negara, selain sempadan antarabangsa ditutup sejak 15 bulan lalu.

Sejak penularan pandemik itu, Australia mengesan lebih 30,000 kes Covid-19 dan melaporkan 910 kematian.

Sydney setakat ini melaporkan 357 kes varian itu. – AFP, 7 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen