Penerbangan tangguh, 30 remaja degil enggan pakai pelitup muka


Penerbangan pesawat American Airlines dari North Carolina ke Bahamas tertangguh sehari selepas kira-kira 30 remaja enggan memakai topeng pelitup muka semalam. – Gambar EPA, 7 Julai, 2021.

PENERBANGAN sebuah pesawat American Airlines dari North Carolina ke Bahamas tertangguh sehari selepas kira-kira 30 remaja enggan memakai topeng pelitup muka, kata media tempatan.

Penerbangan 893 dijadualkan berlepas dari lapangan terbang Charlotte Douglas pada malam Isnin tetapi hanya dapat berlepas pada pagi Selasa, dengan kumpulan yang membuat onar itu berada dalam pesawat itu.

Ia pada awalnya lewat beberapa jam berpunca daripada masalah mekanikal, tetapi apabila pesawat itu sudah bersedia untuk berlepas, berlaku perbalahan antara anak kapal dengan sekumpulan remaja yang enggan mematuhi peraturan persekutuan.

Mengikut peraturan itu semua penumpang perlu memakai topeng pelitup muka sepanjang berada di dalam pesawat bagi mengelak penularan Covid-19.

“Keadaan sangat teruk. Mulanya, mereka menjerit. Mereka menyumpah dengan kata-kata kesat. Sikap mereka sangat menyakitkan hati,” kata saksi Malik Banks kepada stesen televisyen WSOC-TV.

Kumpulan kira-kira 30 remaja itu adalah pelajar sekolah menengah dari Boston yang meraikan mereka tamat belajar.

Mereka akhirnya patuh memakai pelitup muka esok paginya, selepas bermalam di lapangan terbang. Polis tidak menahan mereka, kata media.

Insiden itu memberi gambaran tentang kedegilah sesetengah orang awam ketika menaiki pesawat, menurut syarikat penerbangan itu.

Persatuan dan persekutuan industri itu mendesak Jabatan Keadilan mengambil pendekatan lebih sistematik untuk mendakwa insiden seumpama itu.

Sejak 1 Januari lalu sebanyak 3,271 membabitkan penumpang dilaporkan, termasuk 2,475 kes berkait dengan keengganan penumpang memakai pelitup muka, menurut Pentadbir Penerbangan Persekutuan. – AFP, 7 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen