Ahli perniagaan Ecuador dipenjara jual beg mayat mahal


SEORANG ahli perniagaan warga Ecuador dihukum penjara selepas disabitkan bersalah melakukan penipuan membabitkan penjualan beg mayat kepada sebuah hospital pada harga 10 kali ganda lebih mahal berbanding harga kos, ketika negara berdepan lonjakan kes koronavirus, kata pendakwa raya.

Daniel Salcedo ditahan di Peru setahun lalu selepas pesawat kecil dipandunya terhempas dalam cubannya melarikan dri dari Ecuador.

Beliau didapati bersalah melakukan penyelewengan dalam jualan beg mayat yang bernilai AS$10 satu kepada hampir AS$150 setiap satu kepada hospital di Guayaquil, barat daya Ecuador.

Hospital berkenaan pada masa itu sedang bergelut dengan lambakan pesakit koronavirus dan kehabisan tempat untuk meletakkan mayat.

Salcedo dan tiga pengarah hospital berkenaan yang disabitkan bersalah melakukan penyelewengan itu dijatuhi hukuman penjara 13 tahun, kata pendakwa raya.

Bekas staf kakitangan yang turut didakwa dijatuhi hukuman lebih ringan.

Salcedo dan tujuh rakan subahatnya didapati bersalah menyeleweng dana awam daripada kontrak yang diberikan bernilai AS$872,000, kata kenyataan itu. – AFP, 7 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen