LAPANGAN terbang antarabangsa di bandar Irbil di bahagian utara Iraq diserang dron yang dipenuhi bahan letupan, berhampiran konsulat Amerika Syarikat (AS) semalam, kata pihak berkuasa Kurdish.
Unit antipengganas autonomi wilayah Kurdistan Iraq dalam satu kenyataan berkata tiada kecederaan atau kerosakan besar akibat serangan pada 7.30 malam itu, sementara pasukan bomba memadamkan api.
Lapangan terbang di Erbil menempatkan markas tentera gabungan antarabangsa yang memerangi militan IS, turut disasarkan dron dipenuhi bahan letupan pada April lalu.
Berpuluh-puluh serangan menyasarkan kepentingan AS di negara itu berlaku sejak awal tahun ini, dengan 2,500 tentera AS dikerahkan sebagai sebahagian daripada gabungan itu.
Kelmarin pasukan AS menembak jatuh dron bersenjata di atas kedutaan negara itu di Baghdad.
Beberapa jam sebelumnya, tiga roket dilancarkan ke arah pangkalan udara di gurun barat Iraq yang juga menempatkan tentera AS.
AS baru-baru ini menawarkan AS$3 juta (RM12.47 juta) untuk maklumat mengenai serangan yang menyasarkan kepentingannya di Iraq. – AFP, 7 Julai, 2021.
Komen