Operasi cari mangsa kondominium runtuh sukar kerana ribut Elsa


Pasukan penyelamat meneruskan misi pencarian mangsa yang terperangkap di bawah serpihan runtuhan kondominium di Florida, walaupun berdepan ancaman ribut tropika Elsa. – Gambar EPA, 7 Julai, 2021.

PASUKAN penyelamat meneruskan misi pencarian mangsa yang terperangkap di bawah serpihan runtuhan kondominium di Florida, walaupun berdepan kesukaran ancaman angin kencang dan hujan lebat, susulan ribut tropika Elsa.

Datuk Bandar Miami-Dade County Daniella Levine Cava berkata angka korban di Surfside, bandar di utara Miami itu meningkat kepada 36 orang selepas pasukan penyelamat menemui empat lagi mayat di bawah runtuhan dengan identiti 26 daripadanya sudah dikenal pasti.

Katanya, 109 mangsa masih disenaraikan hilang dan pihak berkuasa mengesahkan 70 daripadanya berada di bangunan 12 tingkat itu ketika kejadian.

Beliau berkata ribut Tropikal Elsa menyukarkan pasukan penyelamat dalam menjalankan operasi mencari.

Pusat Taufan Nasional berkata Elsa dengan kelajuan maksimum 110km sejam dijangka membadai taufan sebelum mendarat di utara pantai Teluk Florida, pagi ini.

Pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk agar bersiap sedia menghadapi ribut dan mungkin bekalan elektrik terputus, tetapi Surfside dan wilayah Miami di pantai timur negeri itu dilihat terhindar daripada ancaman ribut.

Sementara itu, Datuk Bandar Surfside Charles Burkett berkata cuaca mempengaruhi pencarian di bawah runtuhan bangunan dikenali sebagai Champlain Towers South. – AFP, 7 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen