KILANG plastik berhampiran Bangkok terbakar lagi petang semalam, beberapa jam selepas pasukan penyelamat memadamkan kebakaran besar pada awal pagi kelmarin.
Letupan berlaku di kilang itu pada 3 pagi Isnin menyebabkan asap tebal di bandar itu, menyebabkan seorang anggota bomba terkorban sementara 33 yang lain cedera.
Kilang Ming Dih Chemical Co dimiliki syarikat Taiwan, terletak di pinggir Bangkok, berhampiran Lapangan Terbang Suvarnabhumi di wilayah Samut Prakan.
Lebih 1,600 orang terpaksa dipindahkan ke 10 tempat perlindungan sementara.
Punca letupan itu masih belum diketahui.
Pihak berkuasa berkata api marak berjaya dikawal pada 4 pagi semalam tetapi berlaku kebakaran semula pada sebelah petang dan asap tebal tercetus semula, menimbulkan kebimbangan risiko kesihatan kepada penduduk di sekitarnya.
Pengurus kilang Suphab Mankong berkata ada kemungkinan akan berlaku beberapa kebakaran kecil lagi.
“Ia meletus di bawah gudang bersebelahan bangunan pejabat,” katanya.
Beliau berkata pihaknya tidak tahu berapa jumlah bahan kimia yang masih ada di tapak kilang.
Katanya, kawasan sekitara 20 meter hingga 40 meter runtuh.
Gabenor Samut Prakran Wanchai Kongkasem berkata kira-kira 53,000 penduduk daripada 30 komuniti terjejas akibat insiden itu.
Sebanyak 15 kenderaan dan 100 rumah musnah.
Semalam, ramai yang hadir ke kuil Buddha di Bangkok bagi memberi penghormatan terakhir kepada anggota bomba, Korasit Raopan, 19, yang maut ketika memadamkan kebakaran di situ, lapor media tempatan. – AFP, 7 Julai, 2021.
Komen