Apa jadi kes menteri, ahli politik langgar SOP, tanya C4


Kalidevi Mogan Kumarappa Noel Achariam

Polis ambil keterangan beberapa ahli politik kerana didakwa melanggar peraturan SOP Covid-19 sepanjang PKP tetapi hingga kini masih tiada tindakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.

DUA menteri dan seorang menteri besar antara beberapa ahli politik yang dipanggil polis baru-baru ini kerana melanggar peraturan pencegahan penularan Covid-19 sepanjang perintah kawalan pergerakan berjalan.

Namun, setakat itu sajalah yang diketahui tentang kes yang dikaitkan dengan mereka.

Beberapa minggu selepas mereka dipanggil, polis memberitahu The Malaysian Insight kes terhadap ahli politik ini masih dalam siasatan.

Keterangan mereka sudah dirakamkan, kata polis, tetapi setakat ini belum ada sebarang tindakan sehingga menimbulkan dakwaan Putrajaya sekali lagi pilih bulu dalam menguatkuasakan peraturan pencegahan Covid-19.

Pengarah eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata selagi ada pilih kasih dalam penguatkuasaan peraturan dan undang-undang, keyakinan umum kepada pentadbiran ini akan terus merudum.

“Orang sudah mula ada rasa putus asa dan hilang harapan melihat cara kerajaan menguruskan pandemik ini.

“Penguatkuasaan yang pilih bulu juga menghapuskan kepercayaan bahawa ada kesaksamaan dalam undang-undang seperti yang dilindungi oleh Perlembagaan dan menghancurkan kedaulatan undang-undang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau menambah isunya bukan pihak lambat bertindak kerana mereka sudah mengambil tindakan dengan cepat.

“Saya tidak fikir itu isu utama dalam hal ini. Mereka bertindak segera termasuk apabila orang biasa melanggar SOP.

“Isu yang membimbangkan kita ialah pendakwaan dan penguatkuasaan undang-undang yang berpilih. Sudah banyak kali orang kenamaan dan selebriti dibiarkan terlepas.”

Gabriel menarik perhatian bagaimana peniaga, pemilik restoran dan orang biasa dikenakan kompaun serta merta apabila melanggar SOP.

“Kenapa yang susah sangat untuk ambil tindakan terhadap VIP?” tanyanya.

Beliau menggesa Putrajaya menangani isu ini segera demi menegaskan bahawa undang-undang terpakai ke atas semua orang.

The Malaysian Insight menyemak semula dengan pihak polis beberapa kes yang melibatkan menteri dan menteri besar, yang didakwa melanggar peraturan pencegahan penularan Covid-19.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor

Pada 3 Jun lalu, seorang pengguna laman sosial Facebook mendakwa dia dan suaminya melihat Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berada di pusat jualan kereta dan memandu uji sebuah kenderaan kira-kira jam 6.30 petang di Autocity Juru, Bukit Mertajam.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor didakwa berada di pusat jualan kereta dan memandu uji sebuah kenderaan di Autocity Juru, Bukit Mertajam pada 3 Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.

Wanita itu mendakwa Muhammad Sanusi melanggar SOP termasuklah menaiki kenderaan dengan tiga penumpang serta memandu uji sebuah kenderaan jenis Ford Raptor berwarna biru semasa sekatan pergerakan penuh.

Dia kemudian menegur jurujual dan menyoal sama ada pusat jualan dan pameran kenderaan dibuka ketika sekatan pergerakan penuh.

Bagaimanapun Setiausaha Politik kepada Sanusi, Afnan Hamimi Taib Azamudden menafikan dakwaan wanita itu.

Katanya, Sanusi dalam perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan mustahak dan mendapat kebenaran untuk bergerak merentas daerah dan negeri.

Afnan Hamimi menjelaskan, menteri besar singgah untuk membeli bekalan makanan di Juru sebelum masuk ke lebuh raya kerana kawasan rehat dan rawat (R&R) ditutup.

“Kebetulan kedai tempat membeli makanan di Juru itu berhampiran dengan pusat jualan dan pameran kenderaan bagaimanapun premis berkenaan tidak beroperasi.

“Ada seorang jurujual sedang menyusun kereta Ford Ranger di luar pusat jualan dan pameran kenderaan berkenaan manakala Sanusi hanya pergi melihat kenderaan berkenaan kerana minat dan bukannya untuk membeli,” katanya dalam satu kenyataan.

Sanusi tidak memandu uji kereta itu, sebaliknya terus menyambung perjalanannya ke Kuala Lumpur selepas selesai membeli makanan, tambahnya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata pihak polis sedang mengemaskini kertas siasatan yang dibuka berhubung dakwaan wanita tersebut.

Pihak Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) juga meminta polis untuk mengemas kini kertas siasatan sebelum menentukan tindakan seterusnya terhadap Sanusi, katanya.

“Kami masih dalam mengemas kini kertas siasatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

Polis Terengganu pada 22 Jun lalu mengesahkan ahli Parlimen Kuala Nerus diperiksa di sebuah sekatan jalan raya di Kemaman pada 16 Mei dan kesnya disiasat lanjut oleh Bukit Aman.

Polis bagaimanapun tidak mendedahkan butiran kes yang disiasat.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali diperiksa di sebuah sekatan jalan raya di Kemaman pada 16 Mei dan kesnya disiasat lanjut oleh Bukit Aman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata pihak polis sudah merakam keterangan daripada 12 individu berkaitan hantaran di media sosial mendakwa menteri itu ditahan di Perasing, Terengganu.

“Keterangan menteri juga sudah dirakam pada minggu lepas dan seterusnya pegawai penyiasat akan melengkapkan siasatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Polis juga akan merakam percakapan beberapa individu lain yang mempunyai kaitan dengan kes sebelum kertas siasatan dirujuk ke pejabat peguam negara untuk arahan lanjut.

Sementara itu, Khairuddin menafikan beliau mempunyai hubungan dengan seorang selebriti wanita seperti yang tersebar di media sosial.

Katanya, semua tuduhan itu disensasikan termasuk cerita mengenai beliau ditahan di sekatan jalan raya.

Beliau menyifatkannya semua tuduhan itu berniat jahat untuk memburukkan nama dan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed

Mustapa mengaku salah dan meminta maaf secara terbuka selepas tular di media sosial beberapa gambar beliau makan di sebuah kafe di Jeli pada 26 Jun lalu.

Gambar berkenaan pada asalnya dimuat naik oleh pemilik kedai makan berkenaan di Facebook yang meluahkan rasa gembira atas kunjungan Ahli Parlimen berkenaan di premis miliknya.

Dalam satu kenyataan melalui pejabatnya, Mustapa menyerahkan tindakan untuk diambil oleh pihak berkuasa.

Mustapa Mohamed mengaku salah dan meminta maaf secara terbuka selepas tular di media sosial beberapa gambar beliau makan di kafe di Jeli pada 26 Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.

Ketua Polis Jeli Ahmad Arifin berkata siasatan dibuka terhadap empat individu termasuk Mustapa kerana melanggar SOP PKP.

“Siasatan kes sudah selesai. Semua sudah dirakam keterangan.

“Kami sedang tunggu keputusan pihak pendakwa raya di Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut polis, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan kecuaian yang boleh merebakkan jangkitan dan membahayakan nyawa.

Kes juga disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon

Polis membuka siasatan terhadap Rashid selepas tular rakaman video menunjukkan ahli Parlimen Batu Pahat itu hadir makan durian beramai-ramai di sebuah kebun durian di Batu Pahat.

Polis siasat Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon susulan tular video beliau makan durian beramai-ramai di sebuah kebun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.

Rashid sebelum itu mengaku dijemput ke kebun durian itu untuk mendengar aduan daripada tuan punya kebun yang terkesan dengan sekatan pergerakan.

Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah berkata pihaknya merakamkan keterangan Rashid dan 14 individu lain kerana melanggar peraturan pencegahan penularan Covid-19.

“Polis sudah selesai merakam keterangan kesemua mereka dan akan melengkapkan siasatan serta merujuk kes berkenaan kepada Pejabat Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi. – 7 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen