Ahli Parlimen BN tolak idea tarik sokongan kepada kerajaan, kata sumber Umno


Mohd Farhan Darwis

Majoriti ahli Parlimen BN tidak mahu parti berpolitik ketika negara masih lagi bergelut dengan wabak Covid-19, kata sumber Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2021.

MAJORITI ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menolak cadangan pengerusi parti Ahmad Zahid Hamidi untuk mereka menarik balik sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata sumber parti.

Hanya empat ahli Parlimen Umno setuju dengan idea Zahid, kata sumber yang hadir dalam pertemuan antara presiden Umno dengan ahli Parlimen parti di Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurut sumber, selain Zahid sendiri selaku ahli Parlimen Bagan Datuk, tiga lagi yang setuju ialah Ahmad Maslan (Pontian), Najib Razak (Pekan) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).

Jazlan sudah mengumumkan penarikan sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional pada 9 Januari dan kata sumber, tidak hadir dalam pertemuan malam tadi.

“Semua tak setuju, kecuali Zahid, Ahmad Maslan, Najib Razak, dan Ahmad Jazlan. Itu sahaja yang setuju,” kata sumber kepada The Malaysian Insight, dengan syarat tidak dinamakan.

Cadangan Zahid juga ditolak oleh komponen BN yang lain, tambahnya.

“MIC, MCA, semua tak setuju… semua nak bersama Muhyiddin Yassin. Kekal kerajaan dan bantu rakyat, itu sahaja, bukan benda lain,” katanya lagi.

Antara sebab utama mereka menolak cadangan itu kerana tidak mahu parti berpolitik ketika negara masih lagi bergelut dengan pandemik Covid-19, kata seorang sumber lain.

Pertemuan Zahid dan ahli Parlimen Umno malam tadi berlangsung dipercayai hampir empat jam di Wisma Perwira, sebuah bangunan milik Kementerian Pertahanan.

Seorang sumber lain memberitahu The Malaysian Insight, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang juga menteri pertahanan menjadi jurucakap kumpulan ahli Parlimen Umno yang tidak bersetuju dengan cadangan presiden.

Pertemuan itu adalah lanjutan daripada pertemuan awal yang berlangsung pada sebelah siang di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurut ahli Parlimen Umno, Zahid dan Najib memujuk mereka untuk bersetuju dengan tindakan menarik balik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin.

Bagaimanapun, Zahid gagal memberi alasan penarikan sokongan itu serta rancangan masa depan Umno selepas tindakan tersebut.

“Kita tanya apa untung tarik diri, kita tak nampak apa untungnya. Kita tanya ‘road map’, ‘end game’,  Zahid tak jawab.

“Kita ingat (Zahid) nak lepaskan geng dia sahaja,” katanya.

Sumber mengesahkan beberapa ahli Parlimen yang sebelum ini dikatakan sebelum ini bersama Zahid sudah tidak lagi menyokong idea tersebut.

“Yang sudah tandatangan sokong Zahid sebelum ini pun tak setuju juga,” katanya.

The Malaysian Insight difahamkan cadangan penarikan sokongan ahli Parlimen Umno akan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno, yang dijangka akan diadakan pada minggu ini.

Sumber memberitahu ramai dalam kalangan ahli MKT setuju dengan cadangan itu tetapi mereka bukan ahli Parlimen.

“MKT tarik diri sokong PN buat apa, mereka tak boleh ubah kerajaan,” katanya.

BN mempunyai 42 kerusi daripada 220 kerusi di Dewan Rakyat sekarang, dengan Umno membentuk majoriti 38 kerusi diikuti MCA 2 dan MIC dan PBRS masing-masing satu kerusi.

Dua kerusi kosong berikutan kematian ahli Parlimen Batu Sapi dan Grik, yang pilihan raya kecilnya ditangguhkan berikutan pelaksanaan perintah darurat. – 6 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen