PERU akan mengisytiharkan darurat di wilayah selatan Arequipa, berikutan gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda wilayah itu, kira-kira 4 pagi waktu tempatan pada Ahad, lapor agensi berita Xinhua.
“Kami sedang membuat persediaan untuk mengisytiharkan darurat bagi membolehkan kerja membaik pulih kediaman yang rosak dan jalan raya dilakukan secepat mungkin,” kata Ketua Turus kepada Presiden Pedro Pablo Kuczynski, Mercedes Araoz.
Institut Geofizik Peru (IGP) berkata gempa 6.8 magnitud melanda pantai Arequipa pada 4.18 pagi waktu tempatan dengan kedalaman 48 kilometer.
Sementara, pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata gempa itu berukuran 7.1 pada skala Richter dan mengesan aktiviti seismik.
“Gempa berkekuatan 6.8 magnitud yang berpusat di Arequipa itu turut dirasakan di ibu negara Lima, Ica, Ayacucho dan bandar-bandar lain,” menurut laman web Andina.
Meskipun gempa itu mencetuskan gelombang hingga tujuh meter di sepanjang pantai Arequipa, namun tiada ancaman tsunami.
Kerajaan mengesahkan seorang terbunuh dan 42 yang lain cedera manakala puluhan rumah runtuh.
Pusat Operasi Kecemasan Peru berkata, mangsa itu maut selepas rumahnya dihempap bongkah batu, di daerah Yauca.
Beberapa laluan utama, termasuk Panamericana Sur atau Lebuhraya Pan-American Selatan, mengalami kerosakan teruk menyebabkan lalu lintas terhalang, selain itu bekalan elektrik turut mengalami gangguan di beberapa komuniti.
Presiden Kuczynski turut meluangkan masa melawat kawasan terjejas, diiringi beberapa anggota kabinet lain termasuk Menteri Kesihatan Abel Salinas.
Dua gempa susulan kecil, berukuran 3.8 dan 3.7 berlaku kira-kira empat jam selepas gempa pertama.
Kali terakhir selatan Peru dilanda gempa bumi termasuk di Arequipa dan kawasan sekitarnya, ialah pada 23 Jun, 2001 dengan gegaran 8.4, mengorbankan kira-kira 150 orang, serta mencederakan hampir 3,000 manakala 22,000 lagi hilang tempat tinggal. – Bernama, 15 Januari, 2018.
Komen