SEBUAH pesawat membawa penumpang terputus hubungan di Timur Jauh Rusia, menurut pegawai tempatan hari ini.
Jurucakap kementerian pengangkutan berkata pesawat An-26 tersebut berlepas dari Petropavlovsk-Kamchatsky ke Palana di Wilayah Kamchatka ketika ia terputus hubungan dengan menara kawalan.
Valentina Glazova berkata pesawat itu membawa 29 penumpang, termasuk enam anak kapal.
“Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan. Berdasarkan maklumat setakat ini, pesawat terputus hubungan dan gagal mendarat,” katanya kepada AFP.
Tambah beliau, pesawat berkenaan milik syarikat penerbangan tempatan di Kamchatka di Timur Jauh.
Agensi berita Rusia memetik sumber pihak berkuasa berkata seramai 28 penumpang berada dalam pesawat itu, termasuk enam anak kapal, serta seorang atau dua kanak-kanak.
Sumber memberitahu agensi berita TASS pesawat berkenaan mungkin terhempas ke dalam laut, manakala sumber yang dipetik Interfax berkata pesawat mungkin jatuh berhampiran lombong arang batu dekat bandar Palana.
Pasukan mencari dan menyelamat bersama dua helikopter sudah diarahkan supaya bersiap sedia, lapor media. – AFP, 6 Julai, 2021.
Komen