6 pelajar sekolah antara 9 ditangkap rancang pengeboman di Hong Kong


Barang-barang yang dirampas dipamerkan kepada media di ibu pejabat polis Hong Kong pada 6 Julai 2021, setelah sembilan warga Hong Kong, enam daripadanya pelajat sekolah menengah, ditangkap atas tuduhan keganasan kerana didakwa cuba menghasilkan bahan letupan, kata polis. – Gambar AFP, 6 Julai, 2021.

ENAM pelajar sekolah menengah antara sembilan warga Hong Kong yang ditangkap atas tuduhan keganasan kerana didakwa cuba menghasilkan bahan letupan kuat, umum polis pada Selasa.

Lima lelaki dan empat wanita berusia antara 15 dan 39 tahun ditangkap pada Isnin kerana “konspirasi menggunakan bahan letupan untuk kegiatan keganasan”, kata polis.

“Operasi yang kami jalankan semalam adalah terhadap samseng (yang) berusaha menghasilkan bahan letupan TATP di dalam makmal buatan sendiri di sebuah asrama,” kata penguasa kanan Steve Li, dari unit keselamatan nasional baharu di bandar itu kepada wartawan. 

TATP adalah bahan letupan berkuasa tinggi.

Polis berkata sembilan orang itu tergolong dalam kumpulan prokemerdekaan yang menggelarkan diri sebagai “Returning Valiant.”

Mereka yang ditangkap termasuk enam pelajar remaja dan tiga orang dewasa yang bekerja di universiti tempatan, sekolah menengah, dan sebagai pemandu.

Li berkata mereka merancang menyerang kemudahan awam termasuk terowong lintas pelabuhan, jaringan kereta api, dan mahkamah untuk “memaksimumkan kerosakan terhadap masyarakat”.

Sentimen antikerajaan memuncak pada 2019 semasa tunjuk perasaan prodemokrasi besar-besaran dan sering bertukar ganas yang dikekang dengan penangkapan dan undang-undang keselamatan negara baharu.

Walaupun kestabilan telah kembali, Hong Kong tetap menjadi kota yang rencam di mana banyak penduduk masih dikekang di bawah pemerintahan Beijing.

Berita mengenai penangkapan pada Selasa muncul beberapa hari setelah seorang lelaki berusia 50 tahun membunuh diri selepas menikam seorang polis dalam apa yang dikatakan pihak berkuasa sebagai serangan sendiri.

Polis berkata pada Selasa mereka merampas pelbagai barang dari kumpulan itu, termasuk sejumlah kecil bahan letupan, bahan mentah untuk menghasilkan TATP, senjata angin, telefon bimbit, kad SIM, manual memasang bom, dan rancangan untuk melarikan diri.

Mereka juga menemui sejumlah wang tunai AS$11,585 dan membekukan kira-kira HK$600,000 dalam akaun bank yang berkaitan.

Polis telah membuat beberapa siri tangkapan dalam dua tahun terakhir atas tuduhan plot bom walaupun tidak ada serangan besar yang berjaya dilakukan.

Pada April, seorang lelaki berusia 29 tahun dipenjara selama 12 tahun kerana menghasilkan satu kilogram TATP. – AFP, 6 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen