PERDANA Menteri Boris Johnson semalam mengumumkan rancangan untuk menarik balik sekatan koronavirus di kebanyakan tempat di England, termasuk pemakaian pelitup muka dan langkah penjarakan sosial bermula 19 Julai.
Johnson pada awalnya meletakkan 21 Jun sebagai tarikh pembukaan semula sepenuhnya, tetapi terpaksa menangguhkan tarikh itu susulan lonjakan kes akibat varian Delta.
Varian itu kini menyebabkan kes baharu Covid-19 di Britain dengan kadar jangkitan lebih pantas.
Bagaimanapun, imunisasi vaksin besar-besaran mengehadkan jumlah kemasukan pesakit ke hospital, atau kematian akibat Covid-19.
“Pandemik ini masih jauh perjalanannya untuk berakhir. Sudah tentu ia tidak tamat pada 19 Julai ini. Kita perlu berdepan dengan lebih banyak lagi kematian akibat Covid-19, kata Johnson.
Kira-kira 86% penduduk dewasa di Britain sudah menerima dos pertama vaksin, dan 63% lengkap dua dos.
Media berhaluan kanan menyokong keputusan untuk menarik balik sekatan itu.
Ahli politik pembangkang pula berkata tindakan Johnson terlalu cepat.
Pemimpin parti Buruh, Keir Starmer berkata keputusan untuk menarik balik semua sekatan dan perlindungan ketika kadar jangkitan masih meningkat, adalah tindakan cuai.
Datuk Bandar London yang juga wakil rakyat parti Buruh Sadiq Khan berkata perbincangan lanjut akan dilakukan dengan penyedia pengangkutan awam berkenaan peraturan wajib pemakaian pelitup muka, kerana ia akan memberikan jaminan dan keyakinan kepada penduduk London untuk menaiki pengangkutan awam. – AFP, 6 Julai, 2021.
Komen