Pemimpin Hong Kong tepis kebimbangan terhadap undang-undang privasi baharu


Bendera Hong Kong dan China dikibarkan bersama di sebuah jalan raya di hub kewangan itu, ketika pemimpin Hong Kong menepis kerisauan syarikat teknologi utama seperti Google, Facebook dan Twitter berikutan pelaksanaan undang-undang privasi baharu yang akan dikuat kuasa. – Gambar AFP, 6 Julai, 2021.

PEMIMPIN Hong Kong pada Selasa menepis amaran oleh syarikat teknologi utama seperti Google, Facebook dan Twitter bahawa mereka akan keluar dari hub kewangan itu jika pihak berkuasa mengadakan undang-undang privasi baharu.

Pihak berkuasa bandar itu telah mengumumkan rancangan untuk meluluskan undang-undang baharu menyasarkan “doxxing” - tindakan menyiarkan maklumat peribadi seseorang dalam talian supaya mereka dapat diganggu oleh orang lain.

Bagaimanapun desas-desus dari pihak perundangan itu dibimbangi syarikat teknologi besar kerana syarikat boleh dipertanggungjawabkan dan pekerja boleh dihukum kerana kandungan pengguna.

Mereka menjelaskan keprihatinan melalui surat dikirimkan kepada pemerintah Hong Kong oleh Asia Internet Coalition merangkumi Google, Facebook, Twitter, LinkedIn dan Apple.

“Memperkenalkan sekatan yang ditujukan kepada individu tidak selaras dengan norma dan trend global,” menurut surat bertarikh 25 Jun yang diumumkan minggu ini.

“Satu-satunya cara untuk mengelakkan sekatan ini oleh syarikat teknologi adalah dengan menahan diri dari tidak melabur dan menawarkan perkhidmatan mereka di Hong Kong, sekali gus mengganggu perniagaan dan pengguna Hong Kong, dan dalam pada itu turut menciptakan sempadan baharu perdagangan,” tambahnya.

Ketika ditanya mengenai amaran pada Selasa, ketua eksekutif bandar itu Carrie Lam menolak kebimbangan itu.

“Kami sasar doxxing haram dan memperkuatkan pesuruhjaya privasi bagi menyiasat dan menjalankan operasi, itu saja,” katanya kepada wartawan.

Lam menyamakan kekuatan privasi data baharu dengan undang-undang keselamatan nasional yang dikenakan Beijing ke atas Hong Kong tahun lalu bagi menghapuskan perbezaan pendapat setelah tunjuk perasaan demokrasi besar-besaran yang kerap berlaku pada 2019.

Lam berkata undang-undang keselamatan telah “difitnah.”

“Ini adalah kes sama untuk undang-undang privasi,” katanya. – AFP, 6 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen