SEBANYAK 33 peratus kumpulan B40 penerima bantuan kesihatan Putrajaya telah dikesan menghidapi sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
Di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), seramai 457,462 individu telah menjalani saringan kesihatan di mana 151,729 dikesan ada penyakit tidak berjangkit yang sebelum ini tidak didiagnosis.
“Jumlah ini melibatkan kumpulan B40 yang sebelum ini tidak pernah mengetahui mereka menghidapi penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis (10.4%), kolesterol tinggi (29.8%), darah tinggi (13.8%), masalah mental seperti kemurungan (1.6%) dan keresahan (1.4%) selain daripada masalah obesiti dan sebagainya.
“Sebelum menjalani saringan kesihatan PeKa B40, mereka tidak pernah menjalani saringan kesihatan seumpamanya, apatah lagi mendapatkan rawatan susulan,” kata Adham dalam satu kenyataan hari ini.
Di bawah skim PeKa, kumpulan B40 akan mendapat akses saringan kesihatan, bantuan kesihatan sehingga RM20,000, penyelesaian insentif rawatan kanser berjumlah RM1,000 dan insentif pengangkutan sehingga RM1,000.
Adham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membelanjakan RM62.5 juta dari April 2019 hingga 31 Disember 2020 untuk skim ini.
RM38.5 juta dibelanjakan untuk saringan kesihatan seperti pemeriksaan fizikal dan mental serta pemeriksaan kanser payudara dan prostat selain ujian air kencing dan darah.
RM20.9 juta diberikan bagi membiayai permohonan 10 jenis alat perubatan seperti sten untuk jantung, alat sendi tiruan, alat bantuan pendengaran, perentak jantung, prostesis dan implan untuk tulang belakang dan lain-lain.
Sejumlah RM1.6 juta juga telah dibelanjakan kepada rakyat yang berjaya menyelesaikan rawatan kanser manakala RM1.5 juta untuk insentif pengangkutan turut diberikan kepada penerima B40.
Skim PeKa diuruskan oleh anak syarikat Kementerian Kesihatan, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, yang juga terlibat dalam pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Kerjasama awam-swasta yang dijalin dengan lebih 2,112 pengamal perubatan am swasta dan 182 makmal perubatan swasta yang terlibat dengan PeKa B40 dilihat sebagai wadah yang mampu memantapkan lagi sistem penjagaan kesihatan negara dengan penglibatan pelbagai pihak,” kata Adham. – 6 Julai, 2021.
Komen