Serangan ransomware, penggodam tuntut AS$70 juta


Lebih 1,000 syarikat mungkin terjejas daripada serangan ransomware terhadap syarikat Kaseya, penyedia perkhidmatan IT kepada kira-kira 40,000 perniagaan di seluruh dunia. – Gambar EPA, 6 Julai, 2021.

PENGGODAM semalam menuntut AS$70 juta dalam matawang bitcoin sebagai pertukaran untuk memulangkan data yang dicuri menerusi serangan “gargantuan” terhadap syarikat IT Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan ratusan pasar raya besar Sweeden.

Penyelidik percaya lebih 1,000 syarikat mungkin terjejas daripada serangan terhadap syarikat Kaseya yang berpangkalan di Miami, iaitu penyedia perkhidmatan IT kepada kira-kira 40,000 perniagaan di seluruh dunia.

FBI berkata skala serangan “ransomware” itu – dalam bentuk tebusan digital di mana penggodam menyulitkan data mangsanya dan kemudian menuntut wang untuk akses dipulihkan, amat besar sehingga sukar mengawal setiap mangsnya.

“Ia mungkin serangan ransomware terbesar yang pernah berlaku,” kata profesor keselamatan siber di Universiti Oxford, Ciaran Martin.

Pasar raya Coop Sweden berkata syarikat berpangkalan di Sweden itu adalah antara mangsa paling berprofil tinggi secara tidak langsung, dengan mesin tunainya lumpuh sejak Jumaat apabila subkontraktor IT Visma Esscom terjejas teruk akibat serangan itu.

Kebanyakan daripada 800 kedai Coop masih tutup, kata jurucakapnya Kevin Bell, dengan beberapa kedai yang lain dibuka semula menggunakan cara pembayaran alternated.

Pakar percaya serangan itu mungkin dilakukan oleh REvil, sebuah kumpulan penggodam berbahasa Rusia, yang dikenali sebagai antara pelaku serangan ransomware.

Satu catatan di Happy Blog, sebuah laman sesawang yang dikaitkan dengan kumpulan itu, mengaku bertanggungjawab atas serangan terbabit dan memaklumkan ia sudah menjejaskan lebih sejuta sistem.

FBI percaya REvil, yang juga disebut dengan nama Sodinokibi, berada di belakang serangan ransomware bulan lalu ke atas gergasi pemprosesan daging global JBS, yang akhirnya membayar tebusan AS$11 juta bitcoin. – AFP, 6 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen