PASUKAN operasi mencari dan menyelamat bergelut untuk mengesan sekurang-kurangnya 64 mangsa yang terperangkap dalam lumpur susulan tanah runtuh di bandar peranginan Jepun di Atami, sejak Sabtu.
Anggota tentera dan pasukan kecemasan menggunakan pancang dan penggali mekanikal untuk mencari mangsa dalam lumpur dan serpihan, dua hari selepas kejadian di sebahagian bandar pusat peranginan air panas di tengah Jepun.
Pihak berkuasa Atami berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa dihentikan sementara malam tadi, sebelum disambung semula hari ini.
Seramai empat mangsa disahkan meninggal dunia setakat ini, namun pihak berkuasa berdepan kesukaran mengenal pasti lokasi tepat berpuluh-puluh lagi mangsa ketika. Pada masa ini mereka menyelongkar sisa runtuhan 130 rumah dan bangunan lain yang musnah.
“Setakat hari ini, sekurang-kurangnya 64 individu masih belum ditemui,” kata jurucakap bencana bandar itu Yuta Hara.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menzahirkan kesedihan dengan tragedi itu turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, kerajaan serta rakyat Jepun.
Pihak berkuasa sedang meneliti sama ada tanah 54,000 meter padu yang ditinggalkan sebuah syarikat hartanah pada 2007 di kawasan pergunungan itu, menyumbang kepada bencana berkenaan, menurut agensi berita, Kyodo.
Pasukan penyelamat semalam mengambil kesempatan ketika hujan berhenti untuk menelusuri sungai dan memindahkan sisa kayu dan serpihan runtuhan bangunan akibat tanah runtuh.
Arahan pemindahan tidak wajib turut dikeluarkan kepada lebih 35,700 individu di seluruh Jepun, khususnya di wilayah Shizuoka, termasuk Atami, yang terletak kira-kira 90km dari Tokyo. – AFP, 6 Julai, 2021.
Komen