140 pelajar sekolah berasrama diculik di Nigeria


Pengganas menculik 140 pelajar Sekolah Menengah Bethel Bapstist di Kaduna, Nigeria semalam. – Gambar AFP, 6 Julai, 2021.

SERAMAI 140 pelajar sekolah berasrama diculik kumpulan bersenjata di barat laut Nigeria semalam, kata pegawai polis dan kakitangan sekolah.

Ia kejadian penculikan besar-besaran terbaru menyasarkan pelajar sekolah, yang semakin kerap berlaku di negara itu.

Kumpulan bersenjata sejak sekian lama melakukan jenayah di barat laut dan tengah Nigeria dengan mencuri ternakan dan menculik untuk dijadikan tebusan, namun sejak awal tahun ini semakin kerap menculik pelajar sekolah dan kolej.

Polis berkata dalam kejadian terbaru itu, kumpulan bersenjata melepaskan tembakan dan menewaskan pengawal keselamatan lalu menyerbu masuk ke Sekolah Menengah Bethel Bapstist, di Kaduna, pagi semalam.

“Mereka menculik 140 pelajar, hanya 25 pelajar berjaya menyelamatkan diri. Kami masih belum tahu di mana mereka membawa kumpulan pelajar ini,” kata guru, Emmanuel Paul.

Jurucakap Polis Kaduna Muhammed Jalige mengesahkan serangan itu namun tidak memberi perincian mengenai jumlah pelajar yang diculik. – AFP, 6 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen