Adun Tras bebas, 18 pengusaha durian kena reman


Kalidevi Mogan Kumarappa

Adun Tras Chow Yu Hui dibebaskan bagi siasatan berhubung kes tanaman durian di hutan simpan kekal di Raub, Pahang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2021.

SEORANG wakil rakyat dibebaskan manakala seramai 18 pengusaha durian termasuk seorang wanita direman bagi siasatan berhubung kes tanaman durian di hutan simpan kekal di Raub, menurut polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Mohd Yusri Othman berkata 18 individu itu ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam yang menjalankan operasi memusnahkan kebun tersebut.

Mereka juga didakwa melakukan khianat semasa operasi oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), katanya yang mengesahkan pasukan beliau mendapat perintah reman sehari.

“Saya difahamkan 18 suspek yang lain ditahan oleh JPNP bagi tujuan reman untuk membantu siasatan pihak berkenaan berhubung pencerobohan hutan simpan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Adun Tras Chow Yu Hui yang ditahan pada peringkat awal bagaimanapun tidak direman kerana beliau tidak berada dalam kawasan hutan simpan kekal semasa operasi pemusnahan, katanya.

Wakil rakyat DAP itu dilaporkan ditahan sewaktu menemani pekebun durian ke tanah terbabit.

Mohd Yusri menjelaskan siasatan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Siasatan berhubung dakwaan khianat pula dibuat mengikut Seksyen 427 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, katanya.

Kebenaran reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Raub Yusri Wanu Suki ke atas kesemua suspek yang diwakil peguam Samantha Chong Yin Xin.

JPNP dalam satu kenyataan menyebut, operasi itu bagi memusnahkan kebun durian haram dalam kawasan seluas 101.171 hektar dalam hutan simpan kekal (HSK) Batu Talam.

Jabatan itu mendakwa, tindakan undang-undang dibuat ekoran provokasi pihak terlibat.

“Operasi itu tertumpu kepada tindakan memusnahkan kesemua tanaman durian yang ditanam secara haram dan tangkapan serta sitaan barang serta kenderaan akan dibuat terhadap mereka yang masuk ke kawasan HSK tanpa kebenaran,” menurut kenyataan itu.

JPNP juga memaklumkan operasi itu tidak melibatkan kawasan seluas 2,167 hektar di sekitar Raub yang kini masih dalam pertikaian di mahkamah.

Kes dengan tanah seluas 2,167 hektar itu melibatkan saman 110 pekebun ke atas enam pihak termasuk pentadbir tanah Daerah Raub dan pengarah perhutanan Pahang.

Satu lagi pihak dalam kes itu ialah Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama kerajaan negeri dan syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerabat diraja Pahang. – 5 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen