Gunung Mayon mula aktif, 12,000 orang dipindahkan


Letusan Gunung Mayon seringkali meragut banyak nyawa secara langsung atau tidak. Paling buruk pada era Filipina moden adalah Ogos 2006, apabila abu beracun di lerengnya dibawa taufan menyebabkan 1,000 terbunuh. – Gambar EPA, 15 Januari, 2018.

Kawah puncak gunung berapi di Filipina merah menyala hari ini, pakar gunung berapi juga memberikan amaran yang ia boleh meletup bila-bila masa, menyebabkan ribuan melarikan diri.

Gegaran mula dirasai, batu gunung juga mula jatuh dari puncak Gunung Mayon sejak 24 jam lalu, selepas beberapa letusan kecil berlaku, kata pakar.

Lebih daripada 12,000 orang sudah diarahkan meninggalkan zon penampan tujuh kilometer dari gunung itu, dan amaran lahar serta awan beracun sudah dikeluarkan.

“Sangat merbahaya untuk keluarga tinggal dalam jarak itu dan menghidup abu,” kata Claudio Yucot, ketua pertahanan awam daerah itu kepada AFP.

“Disebabkan hujan turut sejak minggu lalu, tebing Mayon boleh menyebabkan pengaliran lahar. Jika hujan tak berhenti ia boleh menjadi sangat merbahaya.”

Gunung itu berada pada jarak 330 kilometer dari barat daya Manila.

Letusan wap serta batu mula jatuh pada hujung minggu, dan kawah di puncak gunung mula menyala pada petang Ahad, situasi yang disifatkan Institut Gunung Berapi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) sebagai tanda ia akan meletus.

Mayon kali terakhir mengalirkan laharnya pada 2014 memaksa 63,000 orang meninggalkan kediaman mereka.

Mayon setinggi 2,460 meter mempunyai sejarah letusan terburuk di negara itu.

Empat pelancong asing dan pemandu pelancong warga tempatan terbunuh apabila Mayon meletus pada Mei 2013.

Pada 1814, lebih 1,200 orang terbunuh apabila lahar menenggalamkan bandar Cagsawa.

Letusan pada Ogos 2006 pula walaupun tidak membunuh sesiapa secara langsung, tetapi abu gunung berapi itu yang dibawa taufan membunuh lebih 1,000 nyawa. – AFP, 15 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen