-2.jpg)
SEKONYONG-KONYONG, selepas siaran rakaman pengumuman Perdana Menteri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keesokannya beliau mengumumkan pula Perintah Darurat. Ia mengejutkan. Ini kerana umum telah maklum bahawa Majlis Raja-Raja sebelum itu telah menolak usul ini yang dikemukakan lebih awal.
Mengapa Darurat ini dilaksanakan juga? Apakah kepentingannya dan apakah kesannya?
Sekali tengok, ia ternampak seperti satu tindakan tegas kerajaan untuk memerangi wabak Covid-19 ini. Dan itulah alasan yang diberikan. Asasnya ialah berlaku peningkatan kes.
Namun, tidak ada banyak perbezaan dari segi cara kerajaan mengendalikan wabak ini. Darurat jelas hanya bertujuan untuk memprorog Parlimen yang pada asalnya patut bersidang pada bulan Mac 2021.
Ini juga disahkan daripada beberapa kenyataan pemimpin kerajaan yang memberi alasan politik banyak mengalih tumpuan mereka. Kononnya mereka sedang bersungguh-sungguh menjalankan tugas.
Setahun sudah berlalu
Sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan Covid-19 sebagai pandemik pada pertengahan Februari 2020, kes di negara kita sudah sekurang-kurangnya dua kali berada di tahap terendah – kosong hingga satu kes sehari. Pertama, pada minggu terakhir Februari 2020 dan kedua, pada awal Mei 2020.
Namun, sejurus selepas itu, berlaku dua gelombang kenaikan kes. Pertama, rentetan laporan kes yang dikesan di Brunei, disyaki berpunca daripada kehadiran ke satu majlis keagamaan di negara kita. Dan Kementerian Kesihatan mengesan sumber asalnya daripada pelajar Malaysia yang balik dari Korea. Kedua, dinisbahkan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah.
Apakah tindakan kerajaan dalam dua kes ini?
Pertama, kerajaan Pakatan Harapan tidak mengambil tindakan segera menutup sempadan. Alasannya ialah i) WHO belum mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik; ii) China telah menutup sempadan negara mereka, khususnya kawasan wabak; iii) langkah drastik menutup sempadan mesti mengambil kira pelbagai penyelarasan misalnya isu pelancong luar dalam negara, rakyat Malaysia di luar negara, tempahan hotel, penerbangan dan sebagainya. Kerajaan ketika itu sedang sibuk menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi yang pertama berjumlah RM20 billion (diumumkan oleh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim kemudian).
Kedua, Pilihan Raya Negeri Sabah berlangsung pada bulan September 2020. Ia berpunca daripada satu usaha menjatuhkan kerajaan semasa di negeri itu selepas mahkamah membebaskan Musa Aman daripada segala pertuduhan yang dihadapi olehnya.
Saya sendiri hadir ke Sabah untuk berkempen bersama rakan-rakan dari pelbagai negeri. Pada mulanya, tidak ada perintah kuarantin ditetapkan kepada mereka yang ke Sabah – berkempen atau tidak. Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham pada masa itu menjelaskan asas keputusan ini adalah sama seperti perjalanan rentas negeri yang lain. Sekiranya perjalanan pergi dan balik dari Sabah memerlukan kuarantin, maka perjalanan dari satu negeri ke negeri lain juga mesti sama – konsisten. Kes di Sabah pada waktu itu masih dikira rendah – atau rendah kerana tidak ada saringan mencukupi atau ada laporan penularan lebih awal.
Untuk berlaku adil, tidak semua yang pergi ke Sabah dijangkiti wabak ini. Ramai yang pulang lebih awal dan tidak mengambil ujian saringan Covid-19 dan ada yang mengambil ujian saringan ini sebelum, semasa dan selepas pulang dari Sabah diuji negatif.
Persoalan yang kurang dipertanyakan ialah bagaimana kes di Sabah bermula?
Kes penularan di Sabah bermula di beberapa kawasan. Ia dikatakan berpunca dari pusat tahanan dan penjara. Kawasan-kawasan ini dikategorikan merah dan mereka yang pergi atau/dan balik dari kawasan ini mesti menjalani ujian saringan. Malangnya, semasa ujian saringan dibuat secara besar-besaran di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, proses yang panjang dan agak tidak tersusun pada mulanya telah mendorong kesesakan di sana sehinggakan ramai penumpang dari kawasan hijau terpaksa bercampur dengan penumpang dari kawasan merah. Ini meluaskan lagi potensi penularan pada ketika itu.
Apa sebenarnya yang berlaku?
Kerajaan Perikatan Nasional sekurang-kurangnya sejak bulan Jun 2020 mula membuka aktiviti ekonomi secara bertahap, membenarkan perjalanan rentas negeri dan melonggarkan perintah kuarantin bagi mereka yang pulang dari luar negara. Ini kerana kerajaan berpendapat jumlah kes sudah terkawal dan kuarantin diri boleh dijalankan di kediaman masing-masing. Ini juga mungkin dapat mengurangkan tanggungan kos di pusat-pusat kuarantin.
Saya menyedari hal ini kerana pada sekitar Julai 2020, dalam penerbangan ke Sabah memenuhi jemputan program di sana, ada kes penumpang bergelang merah jambu dibenarkan menaiki kapal terbang dengan surat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Maklumat yang saya dapat ialah mereka ini telah diuji negatif dalam ujian saringan Covid-19 sebelum itu. Saya tidak tahu sejak bila tarikh sebenar dasar ini dimulakan dan berapa ramai yang pulang dari luar negara dan sepatutnya menjalani kuarantin ini. Namun, satu laporan berita memetik Ismail Sabri, Menteri Kanan Pertahanan berkata sekitar 60 peratus gagal mematuhi perintah kuarantin. Saya tidak tahu daripada mana sumber data beliau, tetapi angka tersebut boleh dikatakan besar.
Sekitar tempoh itu berlaku kes Sivagangga (penyebar pantas atau super spreader). Asasnya sama, iaitu mereka yang diuji negatif dalam ujian saringan Covid-19 boleh menjalankan kuarantin diri dan tidak lagi dikuarantin secara berpusat.
Pada masa yang sama kes mula menular di pelbagai pusat tahanan dan penjara. Ia dikatakan berpunca daripada operasi penahanan warga asing tanpa dokumen dan tahanan-tahanan lain, dan sebahagiannya menjangkiti anggota yang mengendalikan pusat tahanan dan penjara ini, dan dibawa keluar kepada masyarakat, khususnya mereka yang berhubung rapat (close contact) seperti keluarga. Sudah tentu situasi penjara dan hospital lazimnya padat. Jika hospital tidak lagi membenarkan pelawat seperti biasa, di pusat tahanan atau penjara pasti sukar menjarakkan tahanan atau banduan.
Kedudukan Parlimen
Apa yang menarik ialah, selepas PKP mula dilaksanakan pada Mac 2020, Parlimen dapat terus berperanan, meskipun persidangan pada bulan Mei 2020 hanyalah sehari iaitu mendengarkan Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong.
Sidang-sidang seterusnya berlangsung dan Parlimen telah meluluskan beberapa Akta penting, khususnya berkaitan usaha menangani pandemik Covid-19. Ahli-ahli Parlimen mengambil ruang perbahasan untuk mengucapkan pelbagai isu sama ada menyokong pandangan kerajaan mahu pun menyemak dan mengimbanginya, selaras dengan peranan legislatif.
Meskipun ada cadangan untuk menolak Belanjawan bagi membolehkan Kabinet dijatuhkan, ia diterima secara bercampur selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan menggesa sokongan terhadap Belanjawan. Kerana faktor ini juga, timbul cadangan diadakan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement) di mana kerajaan boleh menikmati sokongan bersyarat.
Memang sebenarnya sokongan majoriti yang didakwa diperolehi Perdana Menteri belum pernah diuji melalui undi percaya atau tidak percaya. Undian tertinggi pernah diperolehi beliau semasa Belanjawan tempoh hari hanyalah 111 undi. Ia hanyalah separuh daripada jumlah sebenar ahli-ahli Parlimen. Kita tidak pernah tahu berapakah jumlah sebenar yang menyokong semasa beliau mengangkat sumpah jawatan. Kita tidak mungkin tahu dan ini sebenarnya boleh menjadi satu ancaman kepada sistem demokrasi.
Saya sendiri menyebut dalam satu perbahasan di Parlimen bahawa semasa beliau mengangkat sumpah, beberapa orang ahli Parlimen kerajaan pada masa ini sebenarnya tidak menyokong beliau. Ahli Parlimen Gua Musang dan Ahli Parlimen Pekan pernah mengaku tidak memberikan sokongan. Kini situasi menjadi lebih rumit selepas ada beberapa orang lagi ahli Parlimen turut membuat pengumuman terbuka menarik sokongan kepada beliau.
Raja Berperlembagaan dan Demokasi Berparlimen
Parlimen sebenarnya adalah sistem teras kepada demokrasi di Malaysia. Perlembagaan telah menerangkan bahawa Eksekutif bertanggungjawab kepada Parlimen. Tindakan membelakangi Parlimen adalah satu isyarat bahawa kerajaan tidak sedia dipertanggungjawabkan. Dalam situasi krisis, Parlimen sepatutnya menjadi lebih penting dalam proses pembuatan keputusan.
Ketika umum tidak jelas dengan sokongan sebenar yang dimiliki oleh Perdana Menteri, beliau sepatutnya sedar dan menggunakan kedudukan semasa untuk lebih bersikap inklusif, mendengar dan mengambil pertimbangan menyeluruh. Krisis sebenarnya menyediakan ruang untuk kita bermuhasabah dan insaf tentang keperluan mendapat dokongan dari segenap sudut. Malangnya, yang terlihat dan terdengar daripada tindakan dan kenyataan pemimpin kerajaan dan parti beliau ialah keangkuhan, seolah-olah kerajaan ini sedang ditadbir dengan jumlah majoriti terbesar dalam sejarah. Seolah-olah ini adalah kerajaan terbaik daripada kalangan yang terbaik pernah ada di negara kita.
Pengisytiharan Darurat sebenarnya hanya perlu sekiranya kita merasakan cara penyelesaian krisis ini tidak boleh dilakukan menggunakan jentera dan institusi kerajaan seperti biasa. Namun, umum tidak merasakan demikian. Darurat sehingga kini belum menunjukkan tanda-tanda ia menjadikan situasi bertambah baik. Yang terlihat selama ini hanyalah usaha menekan lawan politik dan mengelak pertanggungjawaban. Malah, sokongan terhadap kerajaan pula semakin melemah.
Bayangkan apakah perspektif pelabur dan masyarakat di dunia demokrasi yang lain apabila kita sendiri meyakini bahawa jentera dan institusi kerajaan yang ada tidak mampu menangani krisis ini sehingga memerlukan Darurat dan selepas itu Darurat tidak pun menunjukkan tanda jelas ia mampu ditangani lebih baik.
Sedarlah Perikatan Nasional, hari-hari kamu sedang dihitung. Tidak lain dan tidak bukan kerana keangkuhan kamu sendiri. – 5 Julai, 2021.
* Amin Ahmad, ahli Parlimen Kangar dan Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Perlis.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen