45 maut pesawat tentera Filipina terhempas


Pesawat C-130 Hercules yang membawa hampir 100 penumpang itu terhempas ketika cuba mendarat di Pulau Jolo di wilayah Sulu semalam. – Gambar AFP, 5 Julai, 2021.

SEKURANG-kurangnya 45 orang maut manakala berpuluh lagi cedera selepas sebuat pesawat tentera Filipina terhempas di selatan negara itu semalam.

Pesawat C-130 Hercules yang membawa hampir 100 penumpang itu terhempas ketika cuba mendarat di Pulau Jolo di wilayah Sulu, kata tentera.

Nahas tersebut antara tragedi terburuk membabitkan pesawat tentera di negara itu.

“Hari ini hari paling mendukacitakan, namun kita masih berharap,” kata Komander Joint Task Force-Sulu Mejar Jeneral William Gonzales dalam kenyataan.

“Kami menggesa seluruh negara mendoakan mereka yang cedera dan terkorban dalam tragedi ini.”

Antara yang terkorban adalah 42 anggota tentera dan tiga orang awam, menurut Angkatan Tentera Filipina. Seramai 49 anggota tentera dan empat orang awam yang cedera kini dirawat di hospital. Lima anggota tentera masih hilang.

Ketua Angkatan Tentera Filipina Cirilito Sobejana dilaporkan media tempatan berkata pesawat terbabit membawa pasukan tentera dari Cagayan de Oro City di Mindanao ketika cuba mendarat di Pulau Jolo yang terletak wilayah Sulu.

Pesawat itu terbabas dari landasan, katanya.

Ketua Pusat Pangkalan Mindanao Barat Leftenan Jeneral Corleto Vinluan memberitahu AFP berdasarkan laporan awal pesawat C-130 Hercules itu terbabas sebelum terbelah dua.

Sementara itu, jurucakap tentera udara Leftenan Kolonel Maynard Mariano berkata punca nahas akan segera disiasat.

Kebanyakan penumpang pesawat adalah pelajar akademi penerbangan yang baru tamat pengajian, dan akan ditempatkan di Pulau Jolo untuk membantu membanteras keganasan di wilayah Sulu yang bergolak itu.

Mereka dijadual melaporkan diri untuk bertugas semalam. – AFP, 5 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen