Pusat jagaan tidak berdaftar digesa daftar vaksinasi


Angie Tan

Pengendali pusat jagaan warga emas tidak berdaftar tidak perlu bimbang akan dikenakan hukuman dan digesa untuk segera mendaftar vaksinasi penghuni mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2021.

PENGENDALI pusat jagaan warga emas yang tidak berdaftar tidak perlu takut untuk tampil mendapatkan vaksin Covid-19, kata wakil rakyat yang memberi jaminan bahawa mereka tidak akan dikenakan hukuman.

Kluster Covid-19 dikesan di pusat jagaan warga emas, termasuk yang tidak berdaftar kerana tidak memenuhi syarat bangunan untuk mendapatkan kebenaran beroperasi.

Di Negeri Sembilan, Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Nicole Tan berkata, kerajaan negeri maklum ada beberapa pusat jagaan tidak berdaftar kerana banyak proses diperlukan untuk mendapatkan kelulusan.

“Namun, negeri membantu mereka dengan memudahkan proses permohonan.

“Kita juga harus yakin bahawa negeri tidak akan mendenda atau menghukum mereka tetapi sekarang kita mahu membantu mereka mendapatkan vaksin untuk penghuni warga emas yang merupakan kumpulan berisiko tinggi.

“Saya meyakinkan mereka untuk segera pergi mendapatkan bantuan bagi mendaftarkan vaksinasi,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.

Maklum balas daripada pusat jagaan lain adalah baik tambahnya, dengan 41 termasuk enam yang belum mendaftar sudah memohon vaksinasi dengan Jabatan Kesihatan Negeri.

Dari 41 buah premis sebanyak 34 premis jagaan sudah menyelesaikan vaksinasi. Enam pusat jagaan sedang menjalani kuarantin kerana kes Covid-19.

Tan berkata beberapa pusat jagaan berdepan kesukaran apabila ada penghuni enggan diberi vaksin atau ada ahli keluarga tidak bersetuju untuk menerima suntikan.

Pada Mei, Persatuan Pengendali Penjagaan Umur Kediaman Malaysia (Agecope) memberi jaminan bahawa selepas berdialog dengan Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, pusat jagaan yang tidak berdaftar tidak akan dikenakan hukuman jika mereka membuat pendaftaran vaksinasi.

Menurut data dari Agecope, terdapat 1,300 pusat asuhan di seluruh Malaysia yang tidak berdaftar. Hanya 365 yang berdaftar.

Menurut Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, di sekitar Lembah Klang, ada kira-kira 400 pusat jagaan warga emas tetapi dari jumlah itu hanya 100 yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tan berkata, majoriti yang tidak berdaftar kebiasaannya tidak dapat memenuhi syarat jabatan untuk mendapatkan lesen.

“Kos dikenakan jika reka bentuk rumah tidak sesuai dengan spesifikasi dan pengubahsuaian diperlukan.

“Pusat jagaan yang tidak berdaftar yang kebanyakannya berdasarkan kutipan amal dan tidak menghasilkan keuntungan tidak akan mampu membayar semua  ini,” kata Tan.

Walaupun masalah pusat jagaan tidak berlesen selalu ada, kebimbangan kali ini adalah keperluan mendesak untuk memberi vaksin kepada penghuninya.

Di kawasan persekutuannya, Tan berkata pusat khidmatnya membantu kira-kira 10 pusat jagaan bagi mendapatkan vaksin.

Beliau juga membantu lapan pusat jagaan tidak berdaftar untuk menerima vaksin Covid-19.

Di Kepong, satu lagi kawasan, ahli Parlimennya Lim Lip Eng berkata hanya ada satu pusat jagaan warga emas dengan 20 penghuni sudah selesai menerima vaksin.

Sementara itu di Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri melancarkan perkhidmatan vaksinasi jangkauan awal bulan lalu bagi menyasarkan pusat jagaan warga emas dan institusi kebajikan di negeri ini.

Exco Selangor yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal pihak berkuasa tempatan Ng Sze Han berkata kerajaan negeri sudah mengarahkan ahli majlis negeri bekerjasama dengan perkhidmatan sokongan dan tidak mendenda rumah kebajikan yang tidak berdaftar.

“Ahli majlis akan membantu mencari rumah jagaan yang berdaftar dan tidak berdaftar. Matlamat kami sekarang bukan untuk melakukan penguatkuasaan undang-undang tetapi memberi vaksin kepada warga emas.

“Mujur kebanyakan pusat jagaan warga emas bersedia untuk mendaftar. Jabatan kesihatan negeri memaklumkan bahawa sudah ada 110 pusat jagaan yang mendaftar untuk vaksinasi di Petaling Jaya sahaja termasuk yang tidak berlesen. Jumlah pendaftaran masih meningkat,” kata Ng.

Vaksinasi untuk warga emas di Selangor diberi perhatian kerana jumlah kes Covid-19 yang tinggi.

Semalam, sebahagian besar Lembah Klang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) apabila sebanyak 2,262 kes Covid-19 dicatatkan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Malaysia berada di bawah sekatan pergerakan penuh dan diteruskan sehingga ketiga-tiga petunjuk dalam pelan pemulihan negara keluar daripada Covid-19 dicapai.

Bahagian bandar dan perindustrian di Lembah Klang serta Selangor dan sebahagian Kuala Lumpur baru sahaja diletakkan di bawah PKPD dari 3 hingga 16 Julai apabila jumlah kes Covid-19 dikesan paling tinggi di negeri-negeri ini, menyumbang hampir separuh dari jangkitan harian. – 5 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen