-signpost-g14-marginal-seats-01.jpg)
MELIHAT kepada isu tempatan, kerusi Parlimen Baram di kawasan pedalaman Sarawak sepatutnya menjadi pilihan pembangkang.
Contohnya, projek empangan Baram yang dibawa oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) dan kemudian ditangguhkan susulan bantahan penduduk, tetapi masih ramai yang bimbang pembangunannya akan bersambung semula.
PKR pernah mencuba dan gagal menawan kerusi itu, salah satu antara kawasan terbesar di Sarawak pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 dengan majoriti hanya 194 undi.
Calon PKR pada masa itu, Roland Engan dijangka akan bertanding sekali lagi pada PRU14 tahun ini.
Kali ini, Engan berdepan pertandingan sukar selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2015.
Baram terbentang luas di negeri Borneo itu, tetapi pada 2015 kawasan luar bandar itu hanya mempunyai 31,476 pengundi. Daripada jumlah itu, 17,391 terdiri daripada masyarakat suku Orang Ulu sementara selebihnya kaum Iban.
Sebagai perbandingan, di kawasan Bandar Kuching, dengan keluasan 100 kali lebih kecil dan mungkin hanya satu sudut kecil dalam Baram, mempunyai 81,992 pengundi.
Pelaksanaan persempadanan semula mencipta kerusi DUN Mulu, tambahan kepada dua kawasan DUN Baram yang sedia ada iaitu Marudi dan Telang Usan. Pelaksanaan itu juga menambah jumlah kerusi di DUN Sarawak daripada 71 kepada 82.
Semua tiga kerusi DUN dipegang oleh BN, selepas pilihan raya negeri Sarawak pada 2016.
Penyandang Baram ialah Anyi Ngau, bekas pegawai daerah Marudi yang bertanding atas tiket Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan menang nipis pada 2013.
Anyi mendapat 9,182 undi sementara Engan dari PKR yang ketika itu dianggap calon kegemaran, menerima 8,988 undi. Calon bebas Patrick Sibat dapat 363 undi.
Engan yang juga ketua PKR Baram menumpukan kempennya kepada bantahan pengundi terhadap cadangan pembinaan empangan hidroelektrik Baram.
Jika empangan mega itu – yang direka untuk menjana 1,000Mw bekalan elektrik – dibina, ia akan menenggelamkan 400 km persegi hutan tropika yang menjadi tempat mencari makanan bagi masyarakat asli di situ.
Kira-kira 20,000 penduduk di situ juga perlu ditempatkan semula, sementara kubur nenek moyang mereka dan penempatan mereka yang menjadi tarikan pelancong akan turut tenggelam.
Kelemahan PKR
Engan, yang masih menjadi pilihan Pakatan Harapan (PH) bagi mengisi kerusi marginal itu mahu membaiki kekalahannya pada 2013.
“Kami kalah pada 2013 kerana kelemahan sendiri. Jentera pilihan raya kami lemah dan perancangannya juga tidak cukup kuat.
“Kami tidak dapat menarik keluar pengundi sebelum dan pada hari mengundi,” katanya.
Ramai pengundi Baram menetap dan bekerja di Miri yang gagal diyakinkan oleh PKR atau membantu mereka pulang untuk mengundi, katanya.
Engan yang juga seorang peguam berkata beliau masih merasakan PKR ada peluang menyingkirkan BN di Baram kerana ketakutan jika empangan Baram dilaksanakan semula, janji yang tidak ditepati oleh kerajaan pemerintah dan persempadanan semula yang mencurigakan.
Salah seorang anak jati Baram, aktivis alam sekitar Peter Kallang berkata penduduk tempatan Baram memerhatikan moratorium yang dikenakan terhadap empangan Baram pada masa ini, secara berhati-hati.
“Kenapa awak rasa penduduk masih letak sekatan di tapak cadangan empangan itu?
“Itu tandanya kami skeptikal. Kami tidak percaya janji kerajaan. Ada cakap-cakap yang empangan itu pasti akhirnya dibina juga.”

Moratorium itu dikenakan pada 2015 oleh bekas ketua menteri Sarawak Adenan Satem selepas bantahan oleh masyarakat asli Baram. Adenan meninggal dunia pada Januari tahun lalu.
Kallang, yang mengetuai bantahan itu sebagai pengerusi kumpulan Selamatkan Sungai berkata pengundi Orang Ulu, khususnya sedang melihat apa yang kerajaan BN akan buat di kawasan cadangan empangan itu.
Katanya, BN masih belum menunaikan janji pilihan raya yang ditabur kepada pengundi Baram pada 1990-an, dan antara janji itu ialah pembinaan klinik di Long San.
“Perdana Menteri Najib Razak janji membina jalan ke Long Silat bernilai RM20 juta ketika dia melawat Baram pada PRU lalu.
“Orang sini masih tidak nampak jalan pun. Ada banyak janji tetapi kebanyakannya masih tidak ditunaikan dan di sini sokongan kuat diberikan kepada pembangkang.”
Ratusan undi
Penganalisis politik James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata mungkin empangan Baram akan akhirnya dibina juga kerana tidak nampak lagi projek besar lain dirancang untuk kawasan itu.
Ia memberikan Engan peluang, tetapi Chin berkata berdasarkan kepada maklum balas, beliau menjangkakan bakal berlaku pertandingan semula antara Anyi dan Engan, malah pertembungan itu akan lebih sengit untuk PKR kerana persempadanan semula 2015.
Chin berkata persempadanan semula itu membawa “beberapa ratus pengundi” ke kerusi Baram.
Kemenangan BN di semua tiga kerusi DUN di Baram pada pilihan raya negeri 2016 juga tanda bahawa parti pemerintah kekal kuat.
Marudi dipegang oleh menteri muda untuk kerajaan tempatan dan perumahan negeri, Penguang Manggil daripada SPDP sementara Telang Usan oleh Dennis Ngau daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Timbalan Speaker DUN, Gerawat Gala yang juga daripada PBB memegang kerusi baharu Mulu.
Tetapi beberapa ratus undi di kerusi seperti Baram boleh membawa perubahan. Kawasan itu menyaksikan calon bebas bertanding pada hampir setiap kali PRU sejak 1969, sebahagiannya disebabkan parti politik di Sarawak yang lazimnya selalu berpecah.
Itu sebabnya mengapa Engan tidak pasti tentang peluangnya dalam pertandingan tiga penjuru. Beliau tewas pada PRU13 apabila calon bebas Sibat mengambil 363 undi, menyebabkannya kalah tipis kepada Anyi.
Mengandaikan undi Sibat dapat kepada Engan, keputusannya sudah pasti berbeza.
“Saya berharap akan berlaku pertandingan satu lawan satu,” katanya. – 15 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan