Bendera putih ancam pengaruh PAS, kata aktivis, penganalisis


Diyana Ibrahim

Kain putih dipasang di depan rumah sebagai tanda penghuninya memerlukan bantuan dalam gerakan bendera putih yang dilancarkan di media sosial. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Julai, 2021.

ISYARAT bendera putih bagi memohon bantuan tidak disukai pemimpin PAS kerana akan menggugat pengaruh parti itu di akar umbi, kata penganalisis dan aktivis politik.

Pemimpin parti itu juga bimbang kempen menaikkan bendera putih bagi menunjukkan keadaan terdesak sewaktu kawalan pergerakan itu membangkitkan sentimen menolak kerajaan.

Penganalisis politik Mazlan Ali berpendapat, ia salah satu faktor PAS begitu keras menolak kempen yang menjadi fenomena waktu ini kerana mengancam kedudukan parti Islam itu.

“Pada saya Umno dan Bersatu mungkin mereka rasional dalam hal ini kerana mereka tahu rakyat terkesan jadi mereka tak begitu membantah.

“Tapi dari PAS mungkin melihat kempen tersebut mengugat kerana PAS kita kenali parti yang ada badan bukan kerajaan (NGO) yang bergiat aktif membantu rakyat seperti contoh Unit Amal mereka.

“Tapi disebabkan kempen angkat bendera putih ini dah bertukar menjadi satu fenomena jadi ia akan memberi ancaman kepada mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Oleh itu reaksi PAS sebagai penyokong kuat Perikatan Nasional agresif kerana kempen ini memberi persepsi kegagalan kerajaan, kata pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia itu.

“PAS mungkin bimbang kedudukan mereka dalam kerajaan. Kita tengok PAS sokong kuat kerajaan PN mereka tak mahu lihat kerajaan tergugat.

“Kita lihat kenyataan pemimpin mereka pun sebelum ini banyak yang mempertahankan PN jadi atas sebab itu mereka bimbang kedudukan mereka dalam kerajaan tergugat.

“Dan ini yang dibimbangi bahawa akan jadi mesej kepada rakyat kerajaan tak dapat membantu, jadi rakyat bergantung sesama mereka. Untuk kepentingan politik, ia sangat bahaya,” tambahnya.

Kempen bendera putih dimulakan awal minggu lalu dengan anjuran supaya individu yang terdesak mengibarkan bendera putih di rumah untuk mendapatkan bantuan segera. – Gambar Twitter, 5 Julai, 2021.

Selain itu peranan pembangkang menggalakkan orang ramai mengibarkan bendera putih itu juga dilihat sebagai tanda protes dan gerakan antikerajaan, kata Mazlan.

Kempen itu dimulakan awal minggu lalu dengan anjuran supaya individu yang terdesak mengibarkan bendera putih di rumah untuk mendapatkan bantuan segera.

Ia digerakkan selepas kerajaan melanjutkan semula Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara, dengan kawalan lebih ketat di hampir seluruh Selangor dan Kuala Lumpur.

Kempen itu juga bagi mengelakkan lebih ramai membunuh diri apabila dilaporkan lebih 1,000 individu bertindak sebegitu sejak PKP berkuatkuasa tahun lalu.

Kempen tersebut bagaimanapun ditentang pemimpin PAS seperti Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor.

Nik Mohamad Abduh antara lain menyebut, rakyat tidak patut diajar untuk menerima kekalahan dan sebaliknya menyeru agar golongan terdesak itu sentiasa berdoa untuk mendapat pertolongan Allah.

Muhammad Sanusi pula dilaporkan berkata, kerajaan Kedah tidak mengiktiraf permohonan bantuan melalui bendera putih dan mengarahkan permohonan dibuat secara rasmi melalui agensinya.

Bantuan makanan itu hanya untuk individu yang membuat aduan secara rasmi melalui panggilan telefon di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) seluruh daerah di negeri itu, katanya.

Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata rakyat tidak patut diajar untuk menerima kekalahan dan sebaliknya menyeru agar golongan terdesak itu sentiasa berdoa untuk mendapat pertolongan Allah. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Julai, 2021.

Setiausaha PAS Kelantan Che Abdullah Mat Nawi pula menyelar kempen bendera putih itu sebagai satu pengkhianatan kerana menyeru rakyat menyerah diri sewaktu diuji.

“... Ini bukan pemimpin, ini pengkhianat negara. Hanya pengkhianat yang menghasut rakyat supaya menyerah kalah dan angkat bendera putih,” katanya yang percaya ia didalangi pihak tertentu.

Mengulas perkembangan itu, Penganalisis Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berpendapat sikap itu ditunjukkan kerana pemimpin PAS sukar melihat realiti semasa.

Kempen mengibarkan bendera putih itu dilihat PAS sebagai usaha memperlekeh pelbagai bantuan dan perkhidmatan yang dibawa kerajaan PN, katanya.

“Mereka sukar menerima hakikat kempen bendera putih lebih kepada memastikan bantuan masyarakat lebih cepat sampai dan dikenal pasti,” kata pensyarah kanan Universiti Malaya itu.

Seorang lagi penganalisis, Prof Madya Jeniri Amir pula melihat penentangan pemimpin PAS itu disebabkan kempen bendera putih memberi tanggapan dan reputasi negatif kepada kerajaan.

Ia memperlihatkan kegagalan PN membantu golongan B40 dan M40 yang terjejas terus kerana pandemik Covid-19, katanya.

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak itu berkata pemimpin PAS tidak perlu mengeluarkan kenyataan keras sebaliknya cuba menangani kelemahan dalam pengagihan bantuan.

“Kerajaan berasa ia menjejaskan imej, reputasi mereka. Biarpun kerajaan ada menghulurkan bantuan dan peruntukan tapi mungkin ada golongan yang terlepas pandang dan terdapat kelemahan dalam pengagihan bantuan,” katanya.

Ramai rakyat negeri PAS kibar bendera putih

Aktivis politik, Ibrahim Ali pula berpandangan bahawa PAS bimbang dengan kempen itu kerana bendera putih banyak dikibarkan di negeri ditadbir parti Islam tersebut.

Presiden Parti Bumiputera Pesaka Malaysia (Putra) itu berpendapat, PAS melihat potensi kempen itu menjadi pencetus kepada rakyat untuk menolak kerajaan negeri pimpinannya.

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu melihat, PAS bimbang kerana ramai golongan yang terjejas teruk akibat pandemik berada di negeri ditadbir parti itu.

“Ramai yang kelaparan di Kelantan dan Kedah. Rata-rata rakyat di Kelantan dan Kedah majoriti atau 70% terdiri daripada B40 dan sebahagian M40. Mereka tidak mampu untuk membantu rakyat.”

Tambahan pula, personaliti PAS di negeri tersebut kini sedang dihakimi masyarakat ekoran gaya hidup mewah dan perolehan konsesi serta projek, katanya.

“Seperti di Kelantan, sudah 30 tahun rakyat menderita sebab itu mereka suruh rakyat berdoa kepada Allah, walaupun mereka gaji besar, pakai Mercedez Benz dan dapat bonus.

“Ada juga pemimpin PAS dapat balak dan tanah,” dakwanya.

Presiden Putra Ibrahim Ali berpendapat, PAS melihat potensi kempen bendera putih menjadi pencetus kepada rakyat untuk menolak kerajaan negeri pimpinannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2021.

Beliau turut mengecam PAS kerana melakonkan imej Islam demi kepentingan politik, dengan merujuk kepada dalil disebut pemimpin parti itu yang menolak kempen bendera putih.

“Bagi PAS semua nak dikaitkan dengan mengguna Islam sebagai modal.

“Sibuk isu bendera putih sampai nak bahas haram atau tidak. Nak naik bendera warna apa pun tak salah untuk tujuan apa sekali pun. Yang tak boleh kibarkan bendera komunis dan Israel laknat.”

Aktivis sosial Shariffa Sabrina Syed Akil pula berkata usaha menaikkan bendera putih itu bukan satu kesalahan dan ia tidak patutnya dijadikan satu isu politik.

Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka) itu melihat kempen bendera putih ditolak pemimpin kerajaan yang tidak mahu dipandang negatif.

“Saya tengok kerajaan nak salahkan bendera putih sebab mereka ada agenda kerana mereka tidak mahu rakyat kata mereka tidak bertanggungjawab tak buat kerja.

“Tapi sepatutnya bendera putih ini patut dijadikan simbol untuk rakyat minta pertolongan,” katanya yang turut menggerakkan bantuan makanan percuma setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah pula berpendapat ulasan mengenai isu bendera putih akan menimbulkan pelbagai persepsi.

Exco pembangunan belia, sukan dan badan bukan kerajaan itu berkata, oleh sebab itu beliau lebih gemar menumpukan kepada usaha menyalurkan bantuan kepada rakyat di kawasannya.

“Ada yang beranggapan ia adalah satu ikhtiar bagi mendapatkan bantuan, satu cara untuk kita membantu orang dan tidak kurang juga membawa kepada persepsi negatif,” katanya. – 5 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen