11 maut minum wain beras beracun di Kemboja


Wain beras buatan sendiri popular di luar bandar Kemboja pada majlis perkahwinan, festival kampung dan pengebumian sebagai alternatif murah untuk mendapatkan minuman dihasilkan secara komersial. – Gambar EPA, 4 Julai, 2021.

SERAMAI 11 penduduk kampung di Kemboja maut selepas minum wain beras yang disyaki beracun semasa upacara pengebumian, kata seorang pegawai polis hari ini.

Polis berkata jumlah kematian akibat minum alkohol buatan sendiri yang tidak selamat semakin meningkat di negara berkenaan.

Dalam dua bulan terakhir, lebih 30 orang meninggal dunia dalam tiga kejadian berasingan di seluruh Kemboja selepas minum wain beras buatan sendiri yang mengandungi metanol – cecair toksik yang boleh menyebabkan buta jika meminumnya.

Sejak Jumaat, 11 orang yang menghadiri upacara pengebumian di Kampot – kira-kira 155 kilometer dari ibu kota Phnom Penh – maut sementara 10 lagi dimasukkan ke hospital selepas meminum alkohol buatan sendiri berkenaan.

Wain beras buatan sendiri popular di luar bandar Kemboja pada majlis perkahwinan, festival kampung dan pengebumian sebagai alternatif murah untuk mendapatkan minuman dihasilkan secara komersial.

Bulan lepas, sekurang-kurangnya 15 pembuat alkohol dan penjual wain beras ditangkap sementara Kementerian Kesihatan meminta orang ramai agar tidak minum minuman yang tercemar. – AFP, 4 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen